WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SMART: PASUKAN PENYELAMAT MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA, BERSEDIA BERBAKTI

29/03/2025 11:04 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Sejak ditubuhkan hampir tiga dekad lepas, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah menjadi barisan hadapan negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bantuan kemanusiaan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1995, SMART lahir selepas tragedi menyayat hati runtuhnya kondominium Highland Towers pada Disember 1993, yang telah membuka mata kerajaan tentang keperluan mendesak bagi mempunyai pasukan penyelamat yang terlatih dan bersedia menghadapi situasi bencana besar di negara ini.

Di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), SMART diwujudkan dengan keanggotaan daripada tiga badan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sejak 2015, SMART telah diletakkan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pada tahun ini pasukan khas itu dianggotai seramai 138 individu daripada tiga organisasi berkenaan.

SMART kini telah berkembang menjadi pasukan elit bertaraf dunia apabila memperoleh status ‘Heavy’ bagi Operasi Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR) daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) di bawah Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2016.

SMART ialah satu-satunya pasukan dalam kalangan negara ASEAN, pasukan kedua di Asia selepas Jepun dan pasukan ke-46 di dunia yang menerima pengiktirafan yang membolehkan SMART menjalankan operasi SAR secara kendiri.

Sejak penubuhannya, SMART telah terlibat dalam pelbagai misi penyelamatan di luar negara termasuk  membantu mangsa gempa bumi iaitu di Turkiye pada 1999 dan 2023,  Gujarat, India (2001),  Pakistan (2005),  Padang, Indonesia (2009) dan Nepal (2015).

SMART juga memainkan peranan menjalankan operasi ketika dalam tragedi tsunami di Aceh pada 2004 dan memberi bantuan ketika Taufan Haiyan di Filipina pada  2013, selain turut dikerahkan ke Ukraine pada 2014 susulan tragedi pesawat MH17.

Media hari ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata SMART telah digerakkan bagi menyertai operasi SAR di kawasan paling terkesan akibat gempa bumi di Myanmar.

Bagi menyertai pasukan khas ini, SMART telah menetapkan kriteria dan syarat yang ketat dalam fasa satu iaitu pemilihan awal yang dijalankan selama tujuh hari diikuti fasa dua iaitu Kursus Khas SMART.

Tapisan kelayakan pemilihan awal ini mengambil kira tempoh perkhidmatan melebihi lima tahun, disahkan jawatan dalam perkhidmatan dan berumur tidak melebihi 35 tahun. 

Antara ujian yang perlu dilalui semasa pemilihan awal ialah larian 2.4 kilometer (km) dan 7 km, renang gaya bebas 300 meter, ujian fobia ketinggian di platform10 meter, apungan di kolam selama 10 minit dan ujian fobia darah atau mayat. 

Turut diuji ialah fobia gelap atau ruang sempit, kecergasan litar, evakuasi kecederaan, ujiian pengetahuan dan temu duga akhir. 

Di fasa dua pula, pegawai dan anggota perlu mengharungi latihan dan ujian pelbagai pengetahuan dan kemahiran berkenaan bidang penyelamatan dan selepas melepasi kedua-dua fasa ini, barulah seseorang itu boleh diterima masuk ke dalam SMART. 

Menerusi konsep MyTeam Relief yang diamalkan SMART pula, pasukan ini boleh beroperasi dengan bantuan komponen lain seperti pasukan perubatan, anjing pengesan dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dalam sesuatu misi menyelamat. 

Bagi memastikan SMART sentiasa berada di tahap terbaik, pegawai dan anggotanya turut dihantar menjalani latihan di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat bagi mendapat pendedahan berkaitan pengurusan bencana, selain menjalani kursus di dalam negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan