WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SINGAPURA SUMBANG S$150,000 UNTUK BANTUAN KEMANUSIAAN SEGERA KE MYANMAR

30/03/2025 07:02 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Singapura akan menyumbang S$150,000 (S$1 = RM3.30) sebagai bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa gempa bumi di Myanmar, selain daripada komitmen awal S$150,000 oleh Palang Merah Singapura melalui kempen kutipan derma awamnya.  

Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura bersedia untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dalam beberapa hari akan datang, bergantung kepada perkembangan situasi di lapangan.  

"Petang ini, Angkatan Bersenjata Singapura juga akan menghantar pasukan penilaian keperluan dan tinjauan dari Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana Serantau Changi untuk menentukan bagaimana kami dapat memberikan sokongan yang lebih disasarkan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.  

Pasukan Operasi Lionheart dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), sebuah unit mencari dan menyelamat seramai 80 anggota, telah berada di Naypyidaw sejak Sabtu.  

Dr Balakrishnan berkata bahawa Singapura bersolidariti bersama rakyat Myanmar ketika mereka berdepan dengan kesan gempa bumi paling dahsyat yang melanda negara itu dalam tempoh satu abad.  

"Doa dan ingatan kami bersama mangsa, keluarga mereka, serta semua yang terjejas akibat tragedi besar ini," katanya.  

Beliau menekankan bahawa pada saat kritikal ini, Singapura berharap gencatan senjata berkesan dapat dilaksanakan di Myanmar agar segala usaha dapat difokuskan kepada menyelamatkan nyawa dan membantu mereka yang memerlukan.  

"Dalam jangka panjang, kami tetap komited untuk menyokong perjalanan Myanmar ke arah pemulihan, keamanan dan pembinaan semula," katanya.  

Sementara itu, pada Ahad, Dr Balakrishnan menghadiri Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang diadakan secara maya dan dipengerusikan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, menurut kenyataan Kementerian Luar Singapura.  

Beliau menyokong cadangan agar ASEAN memperluaskan lagi bantuan kepada negara-negara yang terjejas, dengan penyelarasan oleh Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).  

"Singapura berdiri teguh bersama ASEAN dalam menghadapi saat sukar ini. Kami akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN bagi membantu mereka yang terjejas akibat gempa bumi ini," menurut kenyataan itu.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan