WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERPADUAN MESTI DIPELIHARA BAGAI MENATANG MINYAK YANG PENUH - AGONG, RAJA PERMAISURI

30/03/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan semua lapisan rakyat adalah asas kenegaraan yang mesti dipelihara bagai menatang minyak yang penuh, seterusnya dipupuk dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, dalam perutusan Aidilfitri malam ini, bertitah bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab untuk menjaga perpaduan berdasarkan lima prinsip Rukun Negara.

“Dalam memupuk kebersamaan dan perpaduan yang tulus ikhlas secara berhemah dan produktif, usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membanteras, tanpa kompromi, sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan.

“Harus difahami oleh semua bahawa menjaga perpaduan ini bukan satu usaha yang mempunyai tarikh tamat. Ia adalah sesuatu yang mesti berterusan selamanya—mendidik, memupuk dan menyemai dalam rakyat kita,” titah Seri Paduka Baginda berdua.

Baginda berdua turut bertitah bahawa perpaduan tidak seharusnya hanya di permukaan tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah pihak mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada disengajakan atau tidak.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar pesanan tersebut diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan dan rakyat jelata kerana perpaduan adalah asas kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Bersempena dengan Aidilfitri yang bakal disambut esok, Seri Paduka Baginda berdua juga berharap agar ia disambut dengan penuh kesyukuran, menandakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah mengawal hawa nafsu, mensucikan jiwa dan mengejar segala ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

“Alhamdulillah, sekali lagi kita dikurniakan nikmat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa.

Saya dan isteri mendoakan semoga sekalian rakyat serta seluruh negara kita dilindungi daripada musibah, insya-Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah Seri Paduka Baginda berdua.

Bagi mereka yang gigih berkhidmat untuk negara pada hari yang mulia ini, Seri Paduka Baginda berdua bertitah bahawa jasa dan pengorbanan mereka amat dihargai serta didoakan agar dikurniakan keberkatan dan terus ditiupkan semangat yang kental serta jitu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan