WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBIMBANGAN KEMELESETAN GLOBAL MENINGKAT SUSULAN SEMAKAN SEMULA KDNK EKONOMI UTAMA

06/04/2025 11:33 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kebimbangan terhadap kemelesetan global semakin meningkat susulan semakan semula keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China baru-baru ini, selain pengumuman tarif timbal balik baharu oleh Presiden Donald Trump.

China dijangka terjejas lebih teruk tahun ini berbanding pada 2018 apabila ekonominya berkembang pada kadar paling perlahan sejak 1990.

Pada Mac, Beijing mengumumkan sasaran pertumbuhan KDNK kira-kira 5.0 peratus bagi tahun ini, tetapi bank global seperti Citigroup Inc mengunjurkan tarif 54 peratus ke atas barangan China yang diperkenalkan sejak permulaan penggal kedua presiden Trump, boleh mengurangkan pertumbuhan KDNK China sebanyak 2.4 mata peratusan pada 2025.

Bagi AS, Goldman Sachs menjangkakan boikot barangan luar boleh mengurangkan 0.1 peratus hingga 0.3 peratus daripada KDNK AS pada 2025.

Bank Pusat Eropah pula menyemak semula pertumbuhan KDNK Eropah sebanyak 0.2 mata peratusan bagi 2025 dan 2026, tetapi mengekalkan unjurannya bagi 2027.

Unjuran itu terutamanya disebabkan oleh semakan menurun eksport dan juga pelaburan.

Ini mencerminkan kesan ketidakpastian yang lebih tinggi daripada andaian sebelum ini, serta jangkaan cabaran daya saing berkemungkinan berterusan lebih lama daripada jangkaan.

Menurut data Biro Banci AS, China dan Kesatuan Eropah menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah import AS pada 2024 dan merupakan tiga pembekal utama import AS bersama Mexico.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata faktor diluar jangka sebenar adalah kesan daripada trend inflasi, kejutan keyakinan pengguna dan penentuan semula harga.  

"Tetapi jangan tersilap, ini boleh berubah menjadi kemerosotan ekonomi dan tidak ada rantau yang tidak akan terkena tempiasnya. Namun jika keadaan menjadi lebih teruk Rizab Persekutuan AS (Fed) masih mempunyai rizab tunai cair, dan mereka akan terpaksa menurunkan lagi kadar faedah.

"Itu akan memberi peluang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk turut menurunkan kadar tanpa mencetuskan turun naik pertukaran asing  yang tidak wajar. BNM adalah antara (bank pusat) terbaik di rantau ini yang pantas melakukan perubahan dan fleksibiliti itu merupakan kelebihan utama," katanya kepada Bernama.

Innes berkata Eropah dan China juga tidak akan berdiam diri sahaja dan masing-masing dijangka bakal mengumumkan langkah-langkah rangsangan mereka sendiri.

"Namun satu perkara yang memberi prospek positif kepada Asia adalah hasrat People's Bank of China yang nampaknya mahu mengelakkan penurunan mendadak nilai yuan. Ini memberikan prospek positif kepada pertukaran asing Asia secara umumnya kerana ia menandakan keinginan China untuk mengekalkan kestabilan serantau dan mengelak daripada memulakan satu lagi gelombang penurunan nilai kompetitif," katanya. 

Mengenai ringgit, Innes berkata unit tempatan itu tidak dijangka terjejas teruk disokong oleh prestasi makro Malaysia yang kukuh, bank pusat berdisiplin dan usaha perunding perdagangan Malaysia yang dijangka mengadakan rundingan untuk mendapatkan pengurangan tarif. 

"Dengan jangkaan penurunan kadar AS, ringgit sepatutnya mendapat sedikit sokongan,” kata Innes.

 

Fasa Dua Perang Perdagangan: Tindak Balas China

 

Adakah fasa rundingan perdagangan jauh dari jangkauan? 

China nampaknya mula bertindak balas dengan mengenakan tarif 34 peratus ke atas semua import AS, berkuat kuasa selepas langkah tarif yang digelar sebagai "Hari Pembebasan” oleh Trump bemula 9 April. 

Innes berkata mesej dari China adalah jelas: Tindakan balas akan berlaku secara meluas, pantas dan tanpa henti. 

"Dengan begitu sahaja kita kini kembali semula terjebak dalam suasana perang tarif dan pasaran mula bergolak. Bukan serangan tarif Trump itu sahaja yang menggelisahkan pasaran namun pasaran lebih gentar terhadap impak meluasnya (tarif) dan situasi yang tidak boleh diramal,” katanya.

 

Unjuran Pertumbuhan ASEAN-6 diturunkan kepada 4.2 peratus bagi 2025 

 

Enam daripada 10 negara Asia Tenggara yang disasarkan Trump telah dikenakan tarif lebih tinggi daripada jangkaan, antara 32 peratus hingga 49 peratus -- jauh melebihi 20 peratus yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah.

Setakat ini, tidak ada mana-mana negara Asia Tenggara yang menunjukkan hasrat untuk mengenakan tindakan balas tarif.

Trump mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia yang mana lebih rendah berbanding kebanyakan negara ASEAN yang lain.

Walaupun ini berpotensi menggalakkan beberapa penempatan semula ke Malaysia jika keadaan berterusan, namun kita tidak boleh mengabaikan potensi permintaan terjejas kerana tarif yang dikenakan itu masih jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.

Maybank Securities Pte.Ltd. telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK ASEAN-6 (enam ekonomi terbesar ASEAN) kepada 4.2 peratus bagi 2025, susut daripada anggaran sebelumnya pada 4.7 peratus.

Selain itu, unjuran pertumbuhan bagi 2026 juga diselaraskan kepada 4.2 peratus, berbanding unjuran awal pada 4.7 peratus

Menerusi nota penyelidikan ASEAN Economics, Maybank Securities berkata pertumbuhan eksport dan pelaburan dijangka lebih rendah daripada unjuran sebelum ini berikutan tarif timbal balik Trump ke atas kira-kira 180 negara, termasuk ASEAN.

AS telah mengenakan tarif timbal balik lebih tinggi daripada jangkaan ke atas Vietnam (46 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus) dan Malaysia (24 peratus). Manakala Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus) dikenakan tarif yang lebih rendah.

"Kami menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK AS kepada 1.7 peratus daripada 2.0 peratus dan unjuran KDNK China kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus," katanya.

 

Inflasi Rendah Buka Ruang Penurunan Kadar 

 

Maybank Securities juga menurunkan unjuran inflasinya bagi ASEAN-6 kepada 2.1 peratus pada 2025 daripada 2.4 peratus, dan 2.1 peratus pada 2026 daripada 2.5 peratus.

Pertumbuhan global yang perlahan dan anjakan lebihan kapasiti, terutamanya dari China, berkemungkinan akan mengurangkan tekanan harga di ASEAN.

Fed juga dijangka mengurangkan kadar dasarnya sebanyak 50 mata asas (bps) pada 2025, kerana tarif dan langkah-langkah AS yang lain dijangka menjejaskan pertumbuhan dan pengangguran.

"Penurunan kadar Fed dan inflasi ASEAN yang lebih rendah akan membuka ruang kepada lebih banyak bank pusat ASEAN melonggarkan dasarnya, termasuk Indonesia (-50bps), Filipina (-50bps), Thailand (-50bps), Vietnam (-25bps) dan Singapura pada 2025," kata Maybank Securities.

Bagaimanapun, katanya, rangsangan fiskal mungkin lebih terhad memandangkan hutang awam dan kedudukan defisit yang tinggi, kecuali di Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan