EKONOMI > BERITA

MESYUARAT AWAL SEDANG BERLANGSUNG UNTUK AFMGM KE-12

07/04/2025 08:52 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Mesyuarat awal untuk Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN KE-12 (AFMGM) bermula pagi ini apabila pegawai-pegawai kanan mula memuktamadkan dokumen untuk dibincangkan oleh menteri masing-masing pada hujung minggu ini.

AFMGM memberi penekanan yang jelas terhadap meningkatkan integrasi kewangan serantau. 

Dipengerusikan oleh Malaysia, siri mesyuarat ini akan dimulakan dengan Mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan ASEAN (AFDM) dan Mesyuarat Timbalan Gabenor Bank Pusat ASEAN (ACDM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ia akan menjadi agenda yang padat dengan Mesyuarat Timbalan Kewangan dan Bank Pusat ASEAN (AFCDM)-Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) akan menyentuh isu-isu kewangan berikutan tarif yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada Khamis lepas sekali gus memulakan perang perdagangan global (dalam pemikiran mereka).

Sebagai sebahagian daripada AFMGM, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijadualkan merasmikan Malaysia Open House Exhibition@ASEAN KL 2025 di Dewan 7A, B dan C (Tingkat 3), KLCC.

Pameran ini akan menampilkan tiga zon utama yang mempamerkan Fiesta Kebudayaan Malaysia, Kewangan dan Ekonomi serta Penglibatan Belia.

Ia termasuk Zon Kewangan dan Ekonomi yang akan mengetengahkan pelbagai pempamer termasuk Atthahiri Trading, Ayana Agrotech, Visual Creative Enterprise, Maybank Islamic, AmBank Islamic, Bank Islam, SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat dan RHB Islamic Bank.

Lebih daripada 300 delegasi yang terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta dijangka menghadiri AFMGM dan mesyuarat berkaitan, persidangan pelaburan dan pameran.

Tidak syak lagi, ia akan menjadi acara yang penuh dengan perbincangan dengan tumpuan yang jelas terhadap integrasi kewangan serantau berserta pembentangan, pelan tindakan selain perancangan kewangan serantau untuk jangka sederhana dan panjang.

Sepanjang empat hari, 14 mesyuarat akan diadakan termasuk perbincangan peringkat tinggi dengan Majlis Perniagaan ASEAN-AS, ASEAN-Kesatuan Eropah dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga akan menganjurkan Persidangan Pelaburan ASEAN bersama-sama AFMGM diikuti dengan pelancaran Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ASEAN untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Turut diadakan sesi dialog menteri mengenai dasar makro-struktur ASEAN yang akan dihadiri oleh Amir Hamzah, Menteri Pengangkutan Singapura dan Menteri Kewangan Keduanya Chee Hong Tat serta Timbalan Menteri Kewangan Indonesia, Thomas Djiwandono.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan