KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Hampir seminggu selepas insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada Selasa, proses siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca utama kejadian masih belum dapat dimulakan atas faktor lokasi kejadian yang tidak stabil.
Usaha menstabilkan kawasan ‘ground zero’ semakin mencabar susulan kawah besar yang terbentuk akibat letupan itu ditakungi air berikutan hujan sejak beberapa hari ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata terdapat beberapa fasa pemulihan kawasan perlu dilakukan sebelum siasatan menyeluruh oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dan polis dapat dijalankan, diikuti proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan saluran gas yang terkesan.
Beliau berkata fasa pemulihan berkenaan merangkumi kerja-kerja ‘heat mapping’ (100-650 Celcius) melibatkan 300 meter radius dan pemeriksaan permukaan tanah, pengelasan tanah serta pemasangan cerucuk keping yang akan berlangsung esok hingga 15 April.
“Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kestabilan tanah sebelum kerja pengorekan bagi memperlihatkan saluran gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan,” katanya pada sidang media harian berhubung insiden itu di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights hari ini.
Mengenai siasatan polis terhadap unsur jenayah bagi kejadian itu, Hussein berkata pihaknya sudah merakamkan keterangan 118 individu termasuk kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja pengorekan serta pemasangan paip kumbahan di lokasi kejadian.
Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor dan mendapati ia dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari paras jalan sedia ada.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kerja-kerja mengorek yang dibuat kontraktor tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan itu dengan lebar korekan 1.5 meter. Kerja-kerja mengorek dan pemasangan ini dilakukan sepanjang lebih 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi,” katanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, 642 laporan polis telah diterima termasuk satu laporan menyatakan terdapat aktiviti bermain mercun pada Isnin malam (31 Mac), sebelum kejadian kebakaran berlaku pada pagi keesokannya (1 April).
Dalam masa sama, Hussein memaklumkan proses pemeriksaan tahap keselamatan di kediaman terjejas susulan insiden itu selesai hari ini, yang menyaksikan 220 buah rumah disahkan selamat dan tidak terjejas daripada keseluruhan 439 rumah yang dinilai manakala 219 lagi didapati terjejas.
Daripada jumlah rumah terjejas itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus manakala 132 rumah lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus dan dibenarkan untuk dibaiki oleh penghuni atau pemilik rumah bermula hari ini.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta, serta tiada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan.
Dalam pada itu, usaha menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa terus dilaksanakan, termasuk sumbangan RM2,000 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terjejas, selain dibenarkan mengikuti pelajaran secara dalam talian menjelang sesi pengajian yang bermula esok.
Kebakaran saluran gas Petronas yang menggemparkan negara pada pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial