PASIR MAS, 7 April (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperketat kawalan di sempadan Kelantan-Thailand, khususnya dalam mencegah aktiviti penyeludupan haram, dengan menggunakan teknologi canggih seperti dron untuk mengawasi kawasan sukar diakses.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata selain membuat rondaan berkala oleh anggota di kawasan sempadan, TDM juga memanfaatkan dron untuk memantau lokasi yang tidak dapat dilalui kenderaan atau motosikal, dengan tujuan untuk meningkatkan keselamatan dan mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Kita juga melakukan langkah-langkah secara berkala dan di samping rondaan, kami menggunakan peranti seperti dron untuk memantau kawasan-kawasan yang sukar diakses oleh anggota.
Beliau menjelaskan walaupun terdapat pelbagai percubaan penyeludupan haram di sempadan, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memantau perkembangan tersebut secara berterusan.
"Setakat ini, trend aktiviti penyeludupan masih terkawal tanpa menunjukkan peningkatan yang ketara. Mereka (penyeludup) mungkin mengelak daripada kawasan yang dipantau oleh pihak ATM dan pihak keselamatan negara di kawasan sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Operasi Merpati Sektor 8 Briged sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pos Tok O, Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Muhammad Hafizuddeain berkata walaupun kawasan sempadan Kelantan-Thailand mempunyai banyak lokasi yang sering dijadikan laluan penyeludupan, pihaknya berterusan mempertingkatkan pengawasan dan keselamatan dengan memberikantumpuan di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas.
Beliau turut memaklumkan terdapat 11 pos kawalan di sepanjang Sungai Golok dengan seramai 18 pegawai dan 300 anggota yang terlibat dalam operasi hari ini.
Menurutnya, setakat ini, operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang cabaran atau ancaman.
“Meskipun keadaan terkawal, kami sentiasa berwaspada dan meningkatkan kawalan terutama pada musim perayaan ini kerana ada kemungkinan pihak-pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan untuk merentas sempadan secara haram,” katanya.
Mengenai isu keselamatan, Muhammad Hafizuddeain berkata walaupun terdapat insiden serangan bom di selatan Thailand, kawalan sempadan Malaysia tetap kukuh dan berkesan.
“Kami terus bekerjasama rapat dengan pihak polis dan sektor operasi bersebelahan bagi memastikan kawalan sempadan sentiasa diperketat.
"Setakat ini, tidak ada laporan yang menunjukkan ancaman langsung kepada kawasan selatan Thailand dan Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial