WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH PERSEKUTUAN KETEPIKAN KEPUTUSAN SAMAN PENCEN OLEH BEKAS SENATOR

07/04/2025 07:33 PM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan berhubung pertikaian pencen melibatkan Senator yang sudah bersara, dengan memutuskan bahawa mereka tidak berhak menerima kenaikan pencen apabila gaji Ahli Parlimen yang sedang berkhidmat dinaikkan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan rayuan oleh kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pentadbir Parlimen.

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan tuntutan dua bekas Senator Datuk Idris Buang dan Datuk Seri Kamarudin Ambok, supaya pencen mereka dikira dan disemak semula selaras dengan kenaikan gaji Ahli Parlimen menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2015.

Ketika menyampaikan alasan penghakiman, Hakim Hasnah berkata Ahli Dewan Negara yang bersara tidak berhak menerima pelarasan pencen berdasarkan kenaikan gaji Ahli Parlimen yang sedang berkhidmat.

Beliau berkata hak untuk menerima pelarasan itu belum lagi wujud ketika Perintah Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan Jadual Pertama) 2015 digubal pada 16 Feb 2015.

Hakim Hasnah berkata pelarasan pencen berdasarkan kenaikan gaji Ahli Parlimen semasa ialah hak bersyarat dan bukannya hak diperoleh, serta ia tidak dilindungi oleh peruntukan Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Turut bersidang sama ialah Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Hakim Hasnah berkata perlindungan hak pencen di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai kepada anggota perkhidmatan awam, bukan kepada responden kerana mereka bukanlah penjawat awam seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 132 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, tiada isu timbul dengan pindaan perenggan 20 Jadual Pertama Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, yang mengakibatkan keadaan kurang baik kepada responden seperti yang didakwa dijamin oleh Perkara 147 (1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sebelum 1 Jan 2014, perenggan 20 Jadual Pertama Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 menetapkan bahawa Senator dan Ahli Parlimen layak mendapat pelarasan pencen setiap kali berlaku semakan gaji. Bagaimanapun, selepas pindaan, pencen Ahli Parlimen hanya akan meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun, tanpa perlu membuat semakan gaji.

Pertikaian undang-undang itu bermula apabila kedua-dua mereka bersama-sama bekas Senator yang lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2019.

Mereka memohon mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak menerima pencen yang telah dikira dan disemak semula mengikut kenaikan gaji Ahli Parlimen menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2015. Menurut mereka, pindaan itu berkuat kuasa pada 1 Jan 2015.

Bekas Senator itu mahu pengisytiharan bahawa mereka berhak menerima pencen yang dikira dan disemak semula berasaskan peningkatan ketara (kira-kira 167.45 peratus) gaji semasa Ahli Parlimen/Ahli Dewan Negara yang sedang berkhidmat daripada gaji asal RM4,112.79 sebulan kepada RM11,000 sebulan.

Mereka bersara sebelum pindaan akta berkenaan berkuat kuasa.

Mahkamah Tinggi menolak saman mereka pada 16 Jan 2020, bagaimanapun pada 30 Jan 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu.

Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim, Nurul Husni Ab Rahman, Syahirah Mohamad Ashahari, Mohamad Tarmizi Ahmad, Liew Horng Bin dan Jackie Mary Fernandis mewakili kerajaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pentadbir Parlimen.

Peguam Krishna Dallumah, Indran Kumaraguru, Yong Yoong Hui, Chong Jen Hui dan Nasuha Badrul Din pula mewakili bekas Senator berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan