WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT REKREASI TANPA LESEN DI BINTULU

07/04/2025 10:59 PM

BINTULU, 7 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot rekreasi memancing yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah dalam rondaan pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata bot itu dikesan kira-kira 9.50 pagi di kedudukan 4.3 batu nautika utara Kuala Kemena ketika pasukan rondaan menjalankan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk lesen sah. Ia dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Bot 1953 kerana gagal mempamerkan dan mengemukakan dokumen serta lesen yang sah yang boleh dikenakan denda atau kompaun, jika sabit kesalahan.

Bot tersebut bersama kru telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut menasihati komuniti maritim khususnya pengusaha bot rekreasi dan nelayan supaya mematuhi segala peraturan serta memastikan dokumen bot lengkap dan sah sebelum ke laut.

“Pemilik dan pengendali bot perlu mengutamakan pematuhan undang-undang serta aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” tegas Muhammad Suffian.

Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 untuk tindakan segera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan