WILAYAH - TENGAH > BERITA

IMIGRESEN DIMINTA SEMAK SEMULA SOP DI PELABUHAN BAGI MELANCARKAN PERTUKARAN ANAK KAPAL

28/03/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen diminta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) proses pertukaran anak kapal untuk memastikan kelancaran aktiviti pelabuhan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata ketiadaan perkhidmatan imigresen pada hujung minggu dan cuti umum telah mengganggu proses pertukaran kru di beberapa pelabuhan utama.

"Sebagai contoh, pertukaran kru di Pelabuhan Pasir Gudang dan Pengerang tidak dibenarkan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi kru yang memegang pas khas dari Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar.

"Sementara itu, pelabuhan seperti Melaka, Butterworth dan Lumut juga tidak memudahkan pertukaran kru pada hujung minggu. Jabatan Imigresen tidak mengeluarkan garis panduan rasmi untuk ejen perkapalan, malah yang ada pun hanya disampaikan secara lisan. Tiada yang diterbitkan di laman web rasmi," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Pertukaran anak kapal merujuk kepada proses pelaut turun dari kapal setelah menyelesaikan kontrak mereka dan digantikan kru baharu. Proses ini sangat penting untuk memastikan operasi kapal yang berterusan, pematuhan terhadap peraturan buruh maritim dan kebajikan anak kapal yang perlu pulang ke rumah setelah pelayaran panjang.

Jeyenderan menekankan proses ini amat kritikal untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian pelayaran antarabangsa dan kelancaran operasi pelabuhan.

"Anak kapal yang tiba atau meninggalkan negara mesti melalui pemeriksaan imigresen. Pihak imigresen mengesahkan identiti, memeriksa dokumen yang sah dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang keselamatan sempadan.

"Jika prosedur imigresen rumit, ia boleh menyebabkan kelewatan dalam operasi pelabuhan, mengganggu jadual pelayaran dan meningkatkan kos bagi pemilik kapal," kata Jeyenderan yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam industri maritim.

Beliau juga memaklumkan bahawa sebelum pandemik COVID-19, perkhidmatan imigresen tersedia pada hujung minggu dan cuti umum - amalan yang dihentikan selepas pandemik.

"Sejujurnya, semuanya berjalan lancar sebelum COVID-19. Imigresen lapangan terbang terus berfungsi 24 jam setiap hari tanpa gangguan, namun untuk pelabuhan, imigresen berhenti beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Jeyenderan juga menegaskan sumbangan penting anak kapal terhadap pembangunan ekonomi melalui pengangkutan maritim dan menyeru agar lebih banyak pengiktirafan diberikan terhadap peranan mereka.

"Anak kapal layak mendapat pengiktirafan dan harus diberikan keistimewaan yang serupa dengan mereka dalam industri penerbangan," katanya.

Semakan media mendapati tiada garis panduan khusus berkaitan pertukaran kru yang diterbitkan di laman web rasmi Jabatan Imigresen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan