NIBONG TEBAL, 8 April (Bernama) -- Polis membuka satu kertas siasatan berhubung insiden buli melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata pihaknya telah mengambil tindakan proaktif selepas video kejadian itu tular di media sosial dengan mengesan institusi serta kesemua individu yang terlibat bagi mendapatkan keterangan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Siasatan dilakukan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek. Kes akan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya setelah siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, beliau memaklumkan kira-kira 12.30 tengah hari polis mengesan satu klip video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di Facebook, kelihatan di dalam sebuah bilik dipercayai asrama dan terdapat beberapa individu melakukan perbuatan seperti membuli seorang individu yang lain di atas katil.
Sebelum ini, polis mengesahkan video membabitkan seorang pelajar dibuli rakan-rakannya yang tular itu berlaku di sebuah MRSM di daerah SPS pada pertengahan tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial