WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANFAATKAN KEPENGERUSIAN ASEAN UNTUK KETENGAHKAN KEMAMPUAN UNIVERSITI TEMPATAN

08/04/2025 09:46 AM


From Muhammad Basir Roslan

Peluang sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini seharusnya dimanfaatkan oleh Malaysia untuk mengetengahkan usaha-usaha yang diambil dalam membina daya tahan negara ini bagi mendepani cabaran global termasuk keterjaminan makanan, khususnya menerusi universiti tempatan.

Tidak hanya aktif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), universiti di negara ini melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan pengeluaran sumber manusia yang mampu menampung keperluan pelbagai sektor berkaitan.

Dikenali sebagai peneraju bidang pertanian dan sains makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah antara institusi pendidikan tinggi yang berpotensi diamanahkan bagi mengorak langkah lebih jauh dalam meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab keterjaminan makanan ASEAN.

Dalam usaha itu, UPM baru-baru ini melancarkan Blueprint Keterjaminan Makanan, iaitu satu pelan strategik yang dirangka berlandaskan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) UNESCO. Pelan tersebut bukan sekadar menambah baik ekosistem keterjaminan makanan negara, tetapi juga membuka ruang kerjasama lebih luas dengan negara-negara serantau dalam membangunkan pendekatan mampan dan berasaskan teknologi terkini.

 

PACU DASAR KETERJAMINAN MAKANAN

Mengulas perkara itu, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM Prof Dr Anjas Asmara Samsudin berkata institusi tersebut bersedia memainkan peranan sebagai enabler atau pemboleh daya kepada agenda keterjaminan makanan yang digerakkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Katanya dengan mengintegrasikan teknologi moden, kepakaran akademik dan kolaborasi industri, UPM yakin dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju keterjaminan makanan di ASEAN.

pic-2

Menurutnya, Blueprint Keterjaminan Makanan yang dibangunkan oleh universiti itu bertujuan melahirkan tenaga kerja berdaya saing dalam sektor tersebut dengan menekankan pada lapan kompetensi utama yang perlu dimiliki pelajarnya, iaitu pemikiran kritis, pemikiran strategik, kolaborasi, penyelesaian masalah bersepadu, kesedaran diri, norma etika, pemikiran sistem dan pemikiran antisipatori yang membolehkan pelajar meramal serta bertindak terhadap cabaran masa depan.

"Kerangka ini bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dalam keterjaminan makanan tetapi turut mendukung Pendidikan untuk Pembangunan Mampan. Kompetensi yang diterapkan dalam pelan tindakan ini bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi, tetapi juga memiliki kesedaran terhadap kesejahteraan masyarakat serta keupayaan untuk menyumbang kepada sektor keterjaminan makanan secara mampan," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau lagi, UPM telah memperkenalkan pelan tindakan itu kepada negara-negara ASEAN menerusi lawatan dan persidangan yang dihadirinya bagi menarik minat mereka bekerjasama membangunkan modal insan secara berstruktur agar agenda keterjaminan makanan dapat dicapai dengan lebih sistematik dan menyeluruh. 

Jelasnya, UPM turut menubuhkan Nexus Keterjaminan Makanan Institusi Pengajian Tinggi yang menghimpunkan 21 universiti awam dan tujuh institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Nexus ini berfungsi sebagai platform kerjasama nasional yang menyatukan universiti, industri dan agensi kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan secara kolektif.

"Nexus ini bukan sahaja akan memperkukuh usaha penyelidikan dan inovasi, tetapi juga menjadi pusat bagi inisiatif strategik yang mampu meningkatkan ketersediaan dan keselamatan makanan negara.

"Melalui Nexus, UPM menyediakan platform libat sama yang menghubungkan pelbagai rakan strategik daripada sektor akademik, industri dan komuniti. Kerjasama ini akan diperluaskan ke peringkat ASEAN bagi mewujudkan ruang perbincangan akademik serta kolaborasi dalam bidang R&D berkaitan keterjaminan makanan serantau,” katanya.

 

PERTINGKAT INOVASI DAN PENYELIDIKAN

Selain itu, Anjas Asmara berkata UPM turut mengusulkan penubuhan ASEAN University Network – Agriculture and Food Security (AUN-AFS) di bawah ASEAN University Network-Quality Assurance (AUN-QA) bagi menyatukan usaha universiti dalam menangani cabaran pertanian dan keterjaminan makanan serantau.

Inisiatif itu dijangka dapat mempertingkat penyelidikan antara universiti di ASEAN, meningkatkan pertukaran kepakaran dan teknologi dalam sektor keterjaminan makanan serta menyediakan garis panduan akademik serantau bagi memperkukuh sistem jaminan kualiti dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan kurikulum. 

"Melalui AUN-AFS, kami ingin memastikan universiti di ASEAN dapat bekerjasama dalam menyusun strategi bagi menangani cabaran keterjaminan makanan, bukan sahaja dalam aspek penyelidikan tetapi juga dalam pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti," ujar beliau.

pic-3

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keterjaminan makanan, UPM turut giat meneroka pelbagai inisiatif penyelidikan yang menjawab cabaran sektor pertanian dan makanan di Malaysia serta rantau ASEAN. 

Antara kajian utama yang sedang dijalankan ialah penghasilan varieti benih yang tahan perubahan iklim bagi meningkatkan daya tahan tanaman terhadap cuaca ekstrem, penggunaan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan serta pembangunan sumber protein alternatif seperti larva Black Soldier Fly (BSF) untuk makanan ternakan.

Selain itu, UPM juga memberi fokus kepada pembangunan varieti benih jagung bijirin untuk kegunaan makanan ternakan dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada bahan makanan haiwan import. 

"Antara cabaran terbesar yang kami hadapi ialah kebergantungan pada input pertanian yang sebahagian besarnya perlu diimport. Justeru, kami terus mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sumber alternatif seperti protein BSF serta baja dan racun kompos yang lebih mesra alam," jelasnya.

 

TERAJUI HAB TVET SERANTAU  

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Dr Yatimah Alias berkata pihaknya mampu memainkan peranan utama dalam menarik pelajar antarabangsa melalui program pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri serta teknologi global.

Bagi tujuan itu, UMPSA katanya melaksanakan program dwiijazah dengan kerjasama institusi dari Jerman dan China yang turut merangkumi pertukaran pelajar, penyelidikan bersama dan mobiliti akademik yang memberi peluang kepada pelajar serta pensyarah memperluas perspektif mereka.

pic-4

"Kerjasama UMPSA dengan Universitas Indonesia dalam program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) merupakan contoh usaha bersepadu yang melibatkan pertukaran staf serta program mobiliti berkredit. Inisiatif seperti Global Classroom yang menghubungkan UMPSA dengan institusi luar seperti Mae Fah Luang University, Thailand, turut membuktikan penggunaan teknologi dalam pembelajaran jarak jauh yang memperkukuh pengalaman akademik pelajar," jelasnya.

Selain itu, UMPSA berhasrat menjadi pusat rujukan utama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di ASEAN. Sebagai sebahagian daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA bercita-cita menjadi "The ASEAN Advanced TVET Hub" yang membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang tenaga lestari, automasi industri serta transformasi digital. 

Melalui inisiatif ini, UMPSA katanya bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga mencorakkan kepimpinan teknikal masa depan.

“UMPSA ke arah pengiktirafan sebagai Institusi TVET yang diiktiraf oleh badan pengiktirafan di peringkat Asia dan oleh The Asia Pacific Accreditation and Certification Commission yang berpangkalan di Filipina," katanya.

Dalam usaha mencapai matlamat itu, UMPSA merancang memperluas kerjasama strategik dengan universiti di Indonesia dan Thailand melalui makmal penyelidikan bersama serta pertukaran pelajar dan staf dalam skala lebih besar.

Selain itu, kerjasama dengan industri juga diperluas bagi memastikan tenaga kerja yang dihasilkan selari dengan keperluan pasaran kerja di rantau ASEAN dan global.  

 

EDUTOURISM GABUNGKAN PENDIDIKAN, PELANCONGAN  

UMPSA turut memanfaatkan konsep pelancongan pendidikan (edutourism) sebagai strategi menarik minat pelajar antarabangsa ke Malaysia. 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, pelancongan pendidikan bukan sahaja meningkatkan pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar ASEAN tetapi juga membuka ruang kepada interaksi akademik dan pertukaran idea.

Program seperti mobiliti pelajar, pertukaran akademik dan edutourism memberi peluang kepada pelajar memahami budaya negara lain melalui pengalaman langsung seperti lawatan ke tempat bersejarah, penyertaan dalam festival kebudayaan dan interaksi harian dengan komuniti setempat. 

pic-5

Selain itu, ia turut meningkatkan kemahiran komunikasi antarabangsa pelajar dengan pendedahan kepada pelbagai bahasa serantau seperti bahasa Melayu dan Inggeris.

"UMPSA menawarkan program edutourism melalui MyEduTravel yang diuruskan oleh UMPSA Advanced. Program ini mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan pengalaman pelancongan, memperkenalkan budaya dan keindahan alam semula jadi negeri Pahang sambil memberikan ilmu akademik berharga melalui kajian lapangan, lawatan industri serta bengkel praktikal. Program ini juga membantu meningkatkan kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar antarabangsa," tambah beliau.

Hasil daripada inisiatif itu, pada 2024 sahaja UMPSA berjaya menarik penyertaan 159 peserta antarabangsa dari China, Indonesia, India, Yaman, Iran, Palestin dan Mesir.

Secara keseluruhannya, usaha UMPSA dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan mempromosikan edutourism selari dengan aspirasi ASEAN dalam membangunkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing tinggi. Menerusi pelbagai program yang ditawarkan, UMPSA bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan serantau tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkasa Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

 

PENERAJU MOBILITI PELAJAR

Bukan itu sahaja, Malaysia juga di kedudukan strategik untuk menonjol sebagai peneraju program mobiliti pelajar dan kerjasama rentas universiti yang memperkukuh jaringan pendidikan tinggi serantau. Inisiatif ini selaras dengan komitmen Malaysia untuk membina ASEAN yang inklusif, progresif dan berdaya saing dalam bidang pendidikan.

Menurut Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Siti Hajar Yusoff, antara program utama yang mencerminkan aspirasi itu ialah ASEAN Student Mobility Programme Familiarization Visit yang dianjurkan oleh Kulliyyah Kejuruteraan UIAM dengan kerjasama Pejabat Antarabangsa UIAM.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025) yang menghimpunkan wakil daripada 84 universiti ASEAN, tokoh akademik dan pihak industri.

Lebih daripada sekadar pertukaran pelajar, beliau menjelaskan program sebegini mampu menjadi pemangkin kepada peluang kolaborasi lebih luas meliputi penyelidikan, inovasi dan pembangunan kapasiti kepimpinan belia.

Aktiviti seperti ASEAN Future Innovators Challenge WorkshopLeaders’ LuncheonASEAN Unity Night, dan forum akademik yang membincangkan isu pembangunan mampan, mencerminkan pendekatan holistik dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi ASEAN.

"Antara fokus utama inisiatif ini ialah melahirkan pemimpin muda ASEAN yang berdaya cipta dan berpandangan jauh. Dalam ASEAN Future Innovators Challenge Workshop, pelajar digalakkan menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran SDG berdasarkan tiga tema utama; kepimpinan belia untuk masa depan mampan; kerjasama pembangunan inklusif; dan tindakan iklim ASEAN.

"Peserta turut dibimbing dalam aspek pemikiran kritis, inovasi sosial dan penyelesaian masalah, selain diberi peluang terlibat secara langsung dalam sesi dialog strategik bersama-sama dengan pemimpin akademik melalui acara seperti Leaders’ Luncheon dan One Vision, One Identity, One Community Forum," jelasnya.

Menariknya, beberapa idea yang dicetuskan pelajar dalam bengkel ini berpotensi dikembangkan sebagai projek penyelidikan, dasar serantau malah boleh dikomersialkan, menjadikan pelajar bukan hanya sebagai peserta tetapi juga selaku ejen perubahan yang memberi impak sebenar kepada masyarakat ASEAN, kata beliau.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan