WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LELAKI CEROBOH KEM TENTERA DI GERIK

08/04/2025 10:44 PM

IPOH, 8 April (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai menceroboh kawasan Kompeni C, Batalion Kedua, Rejimen 503 Askar Wataniah di Gerik, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata suspek berusia 50 tahun itu ditahan pada 2.35 petang selepas polis menerima laporan daripada seorang sukarelawan tentera.

"Hasil siasatan awal, semasa pengadu berada di lokasi kejadian kira-kira 8.45 pagi, (beliau) ternampak suspek dikenali dengan nama panggilan 'Mat' berada di dalam kawasan berpagar.

"Terdapat tulisan di dinding bangunan dengan perkataan 'dilarang masuk tanpa urusan' yang dipercayai dilakukan oleh suspek dengan menggunakan cat semburan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkifli berkata apabila dihampiri pengadu, suspek telah meninggikan suara menyatakan itu adalah tanah miliknya dan meminta pengadu keluar dari kawasan tersebut 'jika tidak mahu sakit'.

Menurut Zulkifli polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk memecah pagar antaranya tukul besi, besi pengorek tanah, serangkai kunci serta mangga kunci.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan lelaki itu akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman. 

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan sekiranya orang ramai melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Muhamad Suwadi Mohd di talian 016-8804375," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan