WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARITIM KELANTAN RAMPAS 1.2 JUTA BATANG ROKOK PUTIH DI PASIR MAS

10/04/2025 12:06 PM

PASIR PUTEH, 10 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 1.2 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di tebing Sungai Pengkalan Ekor, Pasir Mas pada Selasa lepas.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan kira-kira pukul 8 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot pancung bergerak laju dan mencurigakan di muara Sungai Kelantan ketika menjalankan Op Naga, Op Damai, Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar membawa kepada penemuan lima kenderaan yang mengandungi kotak-kotak berwarna coklat disyaki berisi rokok serta dua motosikal dan dompet yang ditinggalkan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh kotak rokok putih masing-masing di dalam kereta Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan Proton Exora, lima kotak (Perodua Kancil), empat kotak (Perodua Alza) serta 90 kotak lagi ditemukan di kawasan tebing sungai,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali di sini hari ini.

Erwan Shah berkata anggaran nilai keseluruhan rampasan melibatkan tujuh kenderaan termasuk dua motosikal serta 120 kotak rokok putih berjumlah lebih RM958,500.

Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi sindiket adalah memilih lokasi terpencil bagi melakukan pendaratan, selain menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengangkut rokok seludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan