WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK AYER KUNING: BUKAN SEKADAR JANJI, CALON BN BAWA AGENDA PEMBANGUNAN

18/04/2025 12:57 PM

TAPAH, 18 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir berkata beliau tidak turun ke gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan menabur janji kosong, sebaliknya membawa komitmen untuk memperjuangkan agenda pembangunan termasuk kepada golongan belia.

Beliau berkata ini termasuk meneruskan perancangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin untuk mewujudkan sebuah kompleks sukan bersepadu di DUN itu bagi manfaat komuniti setempat.

“Kita bukan datang sekadar bawa janji tetapi kita datang dengan semangat untuk teruskan usaha yang telah dirintis dan cari ruang yang praktikal untuk bantu golongan belia berkembang,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan tinjauan mesra di Pekan Air Kuning di sini hari ini.

Mohamad Yusri berkata selain pembangunan fizikal, tumpuan juga diberikan kepada aspek pembangunan potensi belia menerusi pendedahan kepada kemahiran, ekonomi dan aktiviti komuniti.

Beliau berkata pendekatan BN bukan sekadar merancang tetapi turut melibatkan libat urus secara langsung dengan belia untuk memahami realiti semasa dan cabaran yang mereka hadapi.

Sebanyak 45.9 peratus daripada keseluruhan 31,897 pemilih berdaftar di DUN Ayer Kuning merupakan individu berusia antara 18 hingga 39 tahun.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini yang diadakan berikutan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan