KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti seorang individu dipercayai suspek yang menularkan kes kematian melibatkan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima satu laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan dua kertas siasatan telah dibuka.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Subang Jaya hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan membuat laporan polis berhubung komen menerusi media sosial yang mendakwa terdapat kematian dalam insiden itu.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan pihaknya menegaskan tiada sebarang laporan berhubung kematian diterima daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkaitan kejadian terbabit.
Dalam pada itu, Hussein berkata polis menerima 755 laporan daripada mangsa setakat hari ini yang kebanyakannya melibatkan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan yang mereka alami akibat kebakaran itu.
“Bagi siasatan insiden, polis telah merakam 172 percakapan daripada saksi-saksi yang melibatkan pelbagai kategori dan juga pihak,” katanya.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial