KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Situasi banjir di Selangor pulih sepenuhnya apabila kesemua 218 mangsa daripada 63 keluarga dibenarkan pulang manakala jumlah mangsa di Sabah meningkat sedikit dan di Johor pula berkurangan pada petang ini.
Di SELANGOR, kesemua mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi tadi.
Exco Pengurusan Bencana Selangor Mohd Najwan Halimi berkata empat PPS berkenaan ialah Dewan Kenanga Seksyen 28, Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 di Shah Alam serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia (MBSJ) di Subang Jaya.
“Kesemua mangsa sudah mula dibenarkan pulang sejak semalam apabila banjir mulai surut di beberapa kawasan di daerah Klang serta Petaling,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed mengisytiharkan penutupan PPS SK Seksyen 16 dan SMK Seksyen 16 di Shah Alam yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Padang Jawa pada 1 tengah hari.
Beliau berkata Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Putra Heights yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Tengah, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Kuala Sungai Baru pula diisytiharkan tutup pada 5 petang.
“Dewan Kenanga yang turut menempatkan mangsa banjir dari Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Lanchong Jaya ditutup pada 6 petang,” katanya menerusi kenyataan.
Di SABAH, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit iaitu daripada 683 orang daripada 186 keluarga pagi tadi kepada 687 orang daripada 191 keluarga petang ini.
Kesemua 475 orang daripada 121 keluarga dipindahkan di enam PPS di daerah Nabawan manakala jumlah mangsa banjir di dua PPS di Sook kekal iaitu 212 orang daripada 70 keluarga.
"Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas akibat bencana banjir berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman Sabah itu, masing-masing terletak 174 kilometer (km) dan 147 km arah Selatan dari Kota Kinabalu," katanya.
Sementara itu, laman rasmi sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di Sabah pada petang hingga malam mengalami ribut petir dengan suhu antara 21-34 darjah Celsius.
Di JOHOR, seramai 163 mangsa daripada 52 keluarga masih terjejas hingga 4 petang, berbanding 177 mangsa daripada 58 keluarga pada pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat ini satu daerah masih terjejas iaitu di Batu Pahat selain satu PPS beroperasi di SMK Seri Gading.
Beliau berkata mangsa terdiri penduduk Kampung Baharu Sri Gading; Kampung Parit Bengkok; Kampung Parit Kaspan; Kampung Parit Samion; Kampung Parit Haji Salleh Ros; Kampung Parit Sri Muar; Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.
“Sungai Senggarang di daerah Batu Pahat berada pada paras amaran iaitu 3.16 meter dan Sungai Batu Pahat berada pada paras waspada iaitu 2.30 meter.
“Sementara itu, hingga 4 petang, cuaca di dua daerah iaitu Mersing dan Tangkak dilaporkan mendung manakala lain-lain daerah dilanda hujan. Amaran ribut petir juga dikeluarkan terhadap semua daerah di negeri ini pada sebelah petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial