WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMOHONAN UP_TVET PERDANA AMBILAN JULAI 2025 KINI DIBUKA

15/04/2025 06:00 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Permohonan UP_TVET Perdana bagi kursus sepenuh masa ambilan Julai 2025 telah dibuka bermula semalam hingga 15 Jun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://mohon.tvet.gov.my.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dalam kenyataan hari ini menyeru agar semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu yang berminat membina kerjaya dalam bidang kemahiran merebut peluang dengan memohon kursus yang ditawarkan.

"TVET hari ini bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi landasan utama kepada kerjaya kukuh, bergaji kompetitif dan berpotensi tinggi dalam pelbagai sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).

“Bagi mereka yang perlukan fleksibiliti, saya turut menggalakkan untuk meneroka laluan UP_TVET Flexi, iaitu sebuah sistem modular yang membolehkan pembelajaran mengikut jadual dan keperluan individu yang telah dibuka sejak Januari 2025,” katanya.

UP_TVET ialah satu sistem permohonan berpusat (single window) yang dibangunkan sebagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk menyatukan akses kepada pelbagai institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara.

Sistem berkenaan diwujudkan bukan sahaja untuk memudahkan proses permohonan, tetapi juga bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar relevan dan selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan