GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berharap hubungan dan kesepakatan antara kaum di negeri ini terus utuh.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Pulau Pinang baru-baru ini turut memuji keharmonian yang ditonjolkan negeri ini.
"Sebagai seorang daripada pemimpin dalam era Kerajaan Perpaduan, saya mengharapkan hubungan harmoni ini akan kekal sampai bila-bila, tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaan aman serta harmoni yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa serta berlainan agama.
"Penganjuran rumah terbuka dalam keadaan muhibah merupakan cerminan kepada realiti hubungan harmoni antara kaum, bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim sempena Aidilfitri anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di Bayan Baru, dekat sini malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff.
Sementara itu, Chow berkata beliau menghargai peranan aktif Pemenang dalam menggalas tanggungjawab sosial dan memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu khususnya di Pulau Pinang dalam kerangka sebuah negara dan negeri yang mengamalkan semangat inklusif dan hidup harmoni bersama.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong segala usaha murni yang bersifat membina dan menyatupadukan rakyat dan saya juga percaya dengan iltizam serta kerjasama kukuh antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemenang, kita dapat mencapai matlamat pembangunan yang seimbang dan mampan untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial