SHAH ALAM, 18 April (Bernama) -- Hubungan baik antara Malaysia dan China susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping baru-baru ini dijangka membawa limpahan ekonomi lebih positif kepada Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata ia terserlah menerusi pertemuannya bersama pemain industri dari negara berkenaan yang menunjukkan kepercayaan dan prospek cerah berkait kemajuan Selangor, selain keyakinan ditunjukkan Xi terhadap hubungan kedua-dua negara dalam mendepani cabaran masa hadapan.
"Selangor sebagai satu daripada negeri pendahulu untuk kegiatan ekonomi pastinya akan mendapat manfaat awal, terutamanya dengan kehadiran pelancong dan juga industri.
"Malah, saya juga sempat bertemu dengan beberapa pemain industri ketika lawatan Presiden China ke sini dan ini sedikit sebanyak membuka peluang baharu untuk kita teroka, terutamanya dalam bidang semikonduktor serta elektrik dan elektronik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ehsan Raya Meriah Lain Macam Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini.
Presiden China itu, memulakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ia kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertama beliau pada 2013, menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial