WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN SERBU LAPAN PREMIS DI BRICKFIELDS JUAL BARANG KAWALAN TANPA LESEN

17/04/2025 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu lapan premis perniagaan runcit dan restoran di sekitar Brickfields di sini malam tadi, kerana disyaki menjual barang kawalan tanpa lesen sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata serbuan bermula 9 malam itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Hasil serbuan, sebanyak 238 kilogram (kg) minyak masak paket, 64 paket tepung gandum dan 75 paket gula serta 28 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5,500,” katanya kepada pemberita selepas operasi berbabit.

Mohd Shahran berkata tindakan ini dibuat susulan penularan video di media sosial yang memaparkan beberapa premis dikendalikan oleh warga asing tidak mempamerkan tanda harga serta menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG) tanpa kebenaran.

Berikutan itu, empat kertas siasata dibuka mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 3(1) dan Peraturan 18 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana urus niaga dan penyimpanan barang kawalan tanpa lesen atau permit bertulis.

“Kami turut mengeluarkan enam kompaun bernilai RM3,000 atas kesalahan tidak mempamer penanda harga barang jualan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 serta menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Sementara itu, pihak DBKL turut mengeluarkan tujuh notis kompaun serta empat notis penutupan premis atas pelbagai pelanggaran peraturan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Shahran menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeksploitasi barang kawalan untuk kepentingan sendiri, dan menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan di pasaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan