PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis kokain seberat lebih 5 kilogram dengan anggaran nilai RM1.05 juta di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Mac lepas.
Penanggung Tugas-Tugas Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Dr. Ahmad Taufik Sulaiman, berkata seorang wanita warga Thailand berusia 30 tahun yang baru tiba di negara ini pada kira-kira 7 malam, menaiki penerbangan antarabangsa dari negara Timur Afrika, turut ditahan.
“Wanita ini ditahan untuk pemeriksaan selepas imej imbasan ke atas beg miliknya menunjukkan objek dan imej yang mencurigakan, disyaki mengandungi dadah berbahaya.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi wanita tersebut, pihak berkuasa menemukan 16 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis kokain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Ahmad Taufik berkata siasatan awal mendapati dadah tersebut cuba diseludup masuk untuk tujuan pengedaran dalam negara.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan kokain dalam ruang rahsia beg kraf tangan dan dijahit rapat bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya sambil menambah wanita tersebut telah dituduh di mahkamah.
Katannya kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial