NILAI, 17 April (Bernama) -- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat pencapaian membanggakan dengan merekodkan kadar kebolehpasaran graduan (GM) sebanyak 98 peratus tahun lepas.
Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata pencapaian berkenaan melepasi kadar 86 peratus yang menjadi sasaran nasional seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata pencapaian itu merangkumi empat petunjuk iaitu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan dengan kadar responden sebanyak 99.5 peratus bersamaan 2,937 graduan warganegara.
“Saya berharap agar kejayaan ini diperkukuh menerusi program pemantapan kemahiran insaniah, bimbingan kerjaya dan pendedahan kepada pengalaman industri sebenar yang menyeluruh kerana graduan perlu memiliki nilai tambah untuk mendapat tempat di industri pekerjaan.
“Pencapaian ini hasil kerjasama secara konsisten semua pihak di fakulti menerusi pendekatan holistik yang diterapkan dalam aspek pembangunan sahsiah dan akademik pelajar selain sokongan daripada Pusat Kerjaya dan Alumni USIM dan industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Kadar Bekerja Graduan (GE) USIM turut mencatatkan pencapaian 98 peratus yang menunjukkan USIM berada dalam kalangan universiti yang berjaya melahirkan siswazah berkualiti dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.
"Pelaksanaan Kajian Pengesanan Graduan di Anjung Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) KPT ini telah dilengkapkan oleh graduan bermula Okt 2024 hingga Feb 2025 yang menjalani konvokesyen pada 2024," katanya.
Beliau berkata melalui kajian ini, pihak kerajaan dan KPT dapat merangka pelbagai inisiatif strategik bagi menggubal dasar yang sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial