DUNIA > BERITA

PENGAMAN PBB HADAPI LANDSKAP KONFLIK PALING KOMPLEKS SEJAK PERANG DUNIA KEDUA

25/04/2025 02:57 PM

HAMILTON, Kanada, 25 April (Bernama-Anadolu) -- Pegawai pengaman tertinggi PBB memberi amaran pada Khamis bahawa misi PBB beroperasi dalam persekitaran paling mencabar sejak Perang Dunia Kedua, susulan konflik global yang semakin kompleks dan berbahaya.

"Kita kini berada dalam konteks yang amat mencabar. Tidak perlu dinyatakan lagi, kita menghadapi lebih banyak konflik dalaman dan antara negara berbanding mana-mana tempoh sejak Perang Dunia Kedua," kata Jean-Pierre Lacroix, Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk Operasi Keamanan, semasa sidang media menjelang mesyuarat Menteri Pengaman PBB 2025 yang ditetapkan pada 13-14 Mei di Berlin, Jerman, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau menyatakan bahawa sifat konflik kini "cepat berubah," sambil merujuk kepada jenayah terancang rentas sempadan dan kesan perubahan iklim sebagai pemacu keganasan baharu yang semakin memberi kesan besar terhadap usaha pengaman.

“Ini jelas merupakan cabaran besar bagi misi pengaman. Konflik yang berlaku semakin kompleks dan saling berkait,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai halangan, Lacroix memuji dedikasi anggota pengaman yang bertugas di lapangan.

“Setiap hari mereka melindungi ratusan ribu orang awam, dan dalam banyak keadaan, malah hampir setiap masa, mereka menjadi penentu antara hidup dan mati bagi orang awam ini,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan penting anggota pengaman dalam “mengelakkan pertempuran berulang dalam konteks gencatan senjata”, serta menyokong proses politik dan membina keupayaan institusi kerajaan.

Menurut beliau, mesyuarat menteri-menteri di Berlin itu akan menjadi forum penting untuk PBB dan negara anggota menilai bagaimana operasi pengaman boleh disesuaikan dengan keperluan semasa.

“Mesyuarat itu merupakan peluang penting bagi PBB dan negara anggota menentukan haluan ke hadapan. Kita boleh mengatasi semua cabaran ini dan memastikan misi pengaman terus menjadi salah satu alat penting, berkesan dan berwibawa PBB serta sistem multilateralisme pada masa hadapan,” kata Lacroix.

Beliau menambah bahawa penambahbaikan kecekapan kos juga menjadi agenda utama, memandangkan “kekangan kewangan yang semakin meruncing” dihadapi pertubuhan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan