WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU JALUR GEMILANG TIDAK LENGKAP: MCMC SELESAI SIASATAN TERHADAP KWONG WAH DAN SIN CHEW

18/04/2025 06:52 PM

PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kandungan hantaran di akaun Facebook Kwong Wah Yit Poh serta gambar dalam akhbar digital Sin Chew yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata bagi kes melibatkan cetakan akhbar pula, ia kini dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ada tiga aspek siasatan. Pertama, siasatan di bawah KDN mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Kedua, siasatan oleh PDRM di bawah beberapa peruntukan termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Mempamer Lambang Kebangsaan.

“MCMC pula menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan status dua siasatan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan akhbar terbitannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun Jalur Gemilang yang dipaparkan didapati tidak lengkap.

Insiden itu mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan rasa kesal dan menegaskan pihak pengurusan serta jabatan pengarang akhbar terbabit seharusnya lebih peka dan menyemak kandungan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Susulan kejadian itu, akhbar berkenaan telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa kesilapan berkenaan berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.

Sementara itu, pihak media Kwong Wah Yit Poh telah diminta oleh MCMC pada Rabu untuk memberikan penjelasan berhubung satu hantaran di akaun Facebook rasmi mereka yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

Ia susulan tular di media sosial mengenai hantaran yang memaparkan muka hadapan akhbar tersebut dengan Jalur Gemilang yang tidak memaparkan lambang bulan sabit.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan