WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MSN, FAM BINCANG HALA TUJU NFDP PADA 28 APRIL INI - JEFRI

18/04/2025 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) akan bertemu kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan hala tuju Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 28 April ini.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata perbincangan itu akan meneliti laporan penilaian NFDP yang diterima daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Januari lepas.

“Pada 28 hari bulan ini, kita akan mengadakan satu perjumpaan dengan pimpinan tertinggi FAM untuk berbincang mengenai langkah seterusnya berkaitan laporan yang dikemukakan AFC.

“Dalam laporan AFC itu, kita akan lihat keseluruhan struktur (NFDP), apa peranan FAM, MSN dan Kementerian Pendidikan… Sekiranya proses itu selesai, kita harap dapat menunggu pengumuman seterusnya oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tahun lepas, isu keberkesanan program NFDP dipersoalkan selepas skuad bawah 16 tahun (B-16) negara gagal layak ke Piala Asia B-17 2025.

Program NFDP yang dilancarkan pada 2014 adalah sebuah program untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain di peringkat akar umbi, sekali gus mampu melahirkan pemain bertaraf dunia untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Jefri ketika mengulas tugas baharunya memimpin MSN sejak 4 April lepas berkata beliau telah melakukan beberapa siri pertemuan bersama atlet, persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan pemegang taruh untuk mendapatkan input antara lain merangka polisi baharu sukan negara pada masa depan.

“Antara tindakan segera yang dilakukan adalah penubuhan jawatankuasa melaksanakan inisiatif yang boleh memberi impak kepada kebajikan atlet serta penelitian kemudahan MSN,” katanya.

Beliau juga berharap dapat mempercepatkan proses pemberian peruntukan, mempertingkatkan kompetensi pegawai teknikal dan memperkasakan peranan NSA dalam perlaksanaan program sukan masing-masing.

Jefri pada masa sama mengarahkan NSA agar mencipta satu pelan tindakan jangka panjang untuk tempoh 2025 hingga 2032, bagi menerangkan secara lebih jelas kepada komuniti sukan mengenai perancangan mereka sepanjang tempoh itu termasuk program pembangunan akar umbi.

“Banyak atlet kita berada dalam keadaan yang sudah berumur. Jadi, kita perlu mengenal pasti bakat-bakat baharu dan melatih mereka supaya dapat didedahkan di peringkat tertinggi pada satu hari nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan