WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAYAT LELAKI BERTATU DITEMUKAN TERSANGKUT DI PERANGKAP SAMPAH

18/04/2025 08:41 PM

SHAH ALAM, 18 April (Bernama) -- Mayat lelaki bertatu ditemukan tersangkut pada perangkap sampah Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata terdahulu, pihaknya mengesan video menerusi laman sosial memaparkan mayat terapung dan hanyut dipercayai di Sungai Langat.

Beliau berkata berdasarkan maklumat lanjut, sepasukan polis telah ke perangkap sampah berkenaan dan menjumpai mayat yang tersangkut sebelum mendapatkan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting untuk mengeluarkan mayat terbabit.

"Siasatan mendapati mayat merupakan lelaki yang lengkap berpakaian kemeja-T lengan panjang warna biru dan berseluar jean biru.

"Pemeriksaan terhadap mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu juga didapati tiada kesan kecederaan luaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata pemeriksaan terhadap mayat mendapati terdapat tatu pada lengan kiri dengan perkataan "Pablo Escobar" dan tulisan "VIVIMMII" pada rusuk kanan dan leher kiri.

Beliau berkata bedah siasat sudah dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi talian 03-3187222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan