WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPWKM ANJUR SESI SUMBANG SARAN BENDUNG SALAH GUNA AI

19/04/2025 05:30 PM

 

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan sesi sumbang saran bagi memperluas usaha membendung penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) di media sosial dalam kalangan pelajar sekolah. 

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sesi itu akan diadakan dalam masa terdekat dan turut melibatkan kementerian berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan selain dijangka membabitkan perbincangan keperluan meminda undang-undang sedia ada bagi menangani isu tersebut.

“Saya secara peribadi telah memaklumkan kepada pegawai kementerian untuk mengadakan sesi itu bagi melihat dari sudut perundangan, apa yang boleh dipertingkatkan (dan) mungkin kita dapat pinda undang-undang dan menambah kecekapan.

“Kita juga ingin berbincang bagi melihat apa lagi kekurangan, selain memperbanyak advokasi dan program pendidikan keibubapaan di luar bandar kerana kawasan itu banyak ketinggalan,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran KPWKM di sini hari ini.

 Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pemimpin negeri.

Nancy berkata demikian bagi mengulas insiden penyebaran gambar lucah pelajar wanita yang disunting menggunakan aplikasi AI untuk dijual di media sosial oleh remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah swasta di Kulai, Johor baru-baru ini.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan