KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk Seri R Ramanan meminta semua pihak yang membuat bantahan dan rayuan berhubung keputusan pemilihan parti dapat menunggu hasil siasatan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata PKR adalah parti yang menjunjung tinggi proses keadilan semasa pemilihan sejak dulu lagi.
“Bagi saya ini (keputusan tidak dijangka) adalah biasa dalam satu pemilihan, sama ada pemilihan parti atau pilihan raya umum, ada menang dan ada yang kalah….Jadi ada terima, ada yang tak terima, ini adalah realiti dalam politik.
“Tetapi, yang penting, kita ada tempoh rayuan dan bantahan. Biar proses itu selesai kerana semua orang ada peluang kemuka rayuan. Rayuan dan bantahan akan ke JPP, mereka akan siasat dan berikan keputusan kepada MPP, jadi kita tunggu proses itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang bermula 11 April hingga hari ini, yang menyaksikan beberapa nama besar termasuk individu berstatus Menteri dan Ahli Parlimen tewas.
Antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim tewas bagi pemilihan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya dan Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy tewas bagi Cabang Bukit Bintang.
Selain itu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan turut tewas dalam perebutan di cabang masing-masing.
Mengenai persiapan beliau menghadapi saingan bagi merebut jawatan Naib Presiden PKR, Ramanan berkata beliau akan meneruskan kempennya hingga pemilihan pada 24 Mei ini walaupun jadualnya agak padat.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menang tanpa bertanding Ketua Cabang Sungai Buloh, minggu lepas.
Sementara itu, Ramanan menggesa lebih banyak usahawan berkelayakan untuk tampil memanfaatkan bantuan daripada AIM yang mempunyai dana berjumlah RM2.6 bilion.
“Peluang banyak, AIM buka pintu buat semua yang layak, tetapi peluang itu perlu diambil. AIM tidak pernah menolak apa-apa permintaan kita termasuk program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) bagi wanita India.
“Pengurusan AIM sangat efisien dengan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) tahun ini hanya 0.02 peratus. Pemimpin luar negara pun kagum dan ingin tahu bagaimana kita dapat mencapai tahap ini,” katanya.
Ramanan turut tersentuh dengan usaha AIM menjemput dan memberikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM36,000 kepada 180 pemandi jenazah, pembawa van jenazah dan penggali kubur, selain anak yatim pada majlis rumah terbuka itu.
Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz pula menzahirkan penghargaan atas sokongan kerajaan termasuk kelulusan dana tambahan RM100 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial