WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPWKM PERLUAS PROGRAM SEMAI PATRIOTISME, SOKONG PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG - NANCY

21/04/2025 12:12 PM

KUCHING, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang memperluas pelaksanaan program bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, sebagai sokongan kepada inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh pelajar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata mesej berkaitan semangat cintakan negara dan penghormatan terhadap Jalur Gemilang itu akan turut disampaikan menerusi program keibubapaan anjuran kementerian berkenaan.

“Masih ramai yang mengambil ringan betapa pentingnya kita menghormati Jalur Gemilang sebagai rakyat Malaysia. Justeru, program sebegini dianjurkan supaya tidak berlaku kesilapan seperti tertinggal corak atau komponen pada bendera, mahupun kesalahan dalam cara menggantung bendera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang bagi Institusi Pendidikan di bawah KPM Peringkat Negeri Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abdul Wahab, di sini hari ini.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian itu, bermula 21 April 2025.

Langkah tersebut melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli berkata sebanyak 885,634 lencana Jalur Gemilang akan diedarkan ke sekolah-sekolah kerajaan di negeri ini.

“Setiap pelajar akan menerima dua unit lencana. Pengedaran kepada sekolah-sekolah terlibat telahpun bermula hari ini dan akan dilakukan secara berperingkat sehingga hujung April, membabitkan seramai 442,817 pelajar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan