WILAYAH - TENGAH > BERITA

PIALA ASIA 2025: PSM YAKIN SKUAD NEGARA MAMPU TEMBUSI SEMUA ACARA FINAL

21/04/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkeyakinan tinggi skuad negara memiliki ramuan ampuh untuk melangkah ke pentas final dalam keempat-empat acara pada kejohanan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini dari 10 hingga 18 Mei ini.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan menegaskan tumpuan khusus diberikan kepada acara regu dan double, iaitu acara yang telah menyaksikan Malaysia dinobatkan selaku juara dunia ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2024, Mei tahun lepas.

“Sasarannya sudah pastilah kita pergi keempat-empat final. Kita sebagai tuan rumah, bermain di gelanggang sendiri dan stadium sama. Memang sasaran untuk mendapatkan pingat emas, terutamanya beraksi di hadapan peminat sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian Piala Asia di sini hari ini.

Mohd Sumali turut memaklumkan setiap pasukan mempunyai dua peluang 'challenge' dan jika menang, peluang itu akan kekal berbanding ditolak seperti saingan sebelum ini.

Acara yang turut menyaksikan penyertaan beberapa negara kuasa besar dalam sukan sepak takraw itu dibahagikan kepada empat acara, iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan.

Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura, manakala untuk regu berpasukan, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun.

Dalam acara kuadran, Malaysia turut diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, Jepun dan China, manakala bagi acara double, Malaysia menghuni Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Nepal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan