WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM SINGAPURA, KEUSKUPAN AGUNG KATOLIK BERI PENGHORMATAN KEPADA PAUS FRANCIS

21/04/2025 10:03 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 April (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengucapkan takziah kepada masyarakat Katolik dan Vatican susulan pemergian Paus Francis pada Isnin pada usia 88 tahun.

Wong berkata kepimpinan dan sifat belas kasihan Paus telah menyentuh kehidupan ramai, mengilhamkan harapan, dan mengukuhkan usaha untuk memupuk keharmonian merentas semua agama dan perpaduan sesama insan.

"Saya amat sedih menerima berita pemergian Yang Mulia Paus Francis. Saya merakamkan ucapan takziah kepada komuniti Katolik di Singapura dan di seluruh dunia, Vatican, dan semua orang yang berduka atas kehilangan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wong menambah bahawa beliau mendapat penghormatan untuk bertemu dengan paus semasa lawatan negara Paus Francis ke Singapura pada September tahun lalu - lawatan pertama paus ke negara itu dalam hampir empat dekad.

"Paus membawa mesej yang mengangkat nilai belas kasihan dan keterangkuman yang menyentuh hati ramai rakyat Singapura. Legasi beliau akan terus dikenang dan dihargai,” kata Wong.

Sementara itu, Keuskupan Agung Roman Katolik Singapura menyifatkan Paus Francis sebagai simbol belas ihsan, kasih sayang dan perpaduan, bukan sahaja untuk penganut Katolik tetapi juga kepada masyarakat global, terutamanya kepada golongan lemah, terpinggir dan miskin.

Dalam mesej kepada komuniti yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Uskup Agung, Keuskupan Agung, yang menyelia kira-kira 395,000 penganut Katolik di Singapura, memuji komitmen tidak berbelah bahagi mendiang Paus terhadap keterangkuman.

"Beliau bercakap untuk pelarian yang kehilangan tempat tinggal dan mangsa perang, dan menggesa pemimpin dunia untuk mencari keamanan melalui dialog dan keadilan.

“Tindakannya memberi inspirasi kepada penganut untuk mencerminkan nilai kasih Kristus dan menghulurkan tangan membantu golongan terpinggir,” menurut kenyataan itu.

Keuskupan Agung turut menyerlahkan advokasi kuat Paus Francis terhadap pemeliharaan alam sekitar, merujuk kepada ensiklik beliau, Laudato Si’ (Pujian kepada-Mu), yang menyeru tindakan global menentang perubahan iklim dan menuntut tanggungjawab bersama dalam menjaga Bumi.

Mengimbas kembali lawatannya ke negara itu, Keuskupan Agung menyatakan bahawa Paus Francis menekankan kepentingan dialog antara agama, terutamanya semasa perhimpunan dengan wakil belia daripada pelbagai komuniti agama.

"Beliau menggesa belia hari ini untuk berani dan terbuka kepada maklum balas untuk mengadakan dialog yang ikhlas antara satu sama lain," tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan