WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR TERUSKAN INSENTIF RAWATAN TIBI - EXCO

21/04/2025 07:32 PM

SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor meneruskan insentif Rawatan Penyakit Tuberculosis (tibi) sebanyak RM800 untuk tahun ini, sebagai usaha berterusan memerangi penularan penyakit berkenaan dalam kalangan rakyat negeri ini. 

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kesinabungan insentif tersebut yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, bertujuan memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya. 

“Usaha ini mencerminkan komitmen Selangor dalam memastikan pesakit terutamanya daripada golongan B40, dapat meneruskan rawatan secara konsisten sehingga mencapai kesembuhan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata tahun lepas, Malaysia mencatatkan 26,183 kes tibi dengan 20 peratus atau 5,337 kes dilaporkan di Selangor.

Beliau berkata kadar insiden penyakit itu yang menunjukkan peningkatan pada purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020, menjadikan keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak. 

“Namun begitu, kerjasama antara Kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB), telah membuahkan hasil apabila kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80 peratus pada tahun 2020 kepada 88 peratus pada 2024,” katanya.

Jamaliah berkata, JKNS memainkan peranan penting dalam mendepani cabaran semasa berkait penyakit tibi menerusi pendekatan strategik dan inovatif dengan menumpukan kepada aspek pengesanan awal, penyediaan rawatan berkualiti dan pendidikan awam.

Beliau berkata antara inisiatif utama termasuk melabur dalam teknologi kesihatan seperti penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.

Selain itu, Jamaliah berkata ujian makmal terkini serta formulari ubat mesra kanak-kanak yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), turut memperkukuh lagi usaha merawat pesakit di semua peringkat usia.

“Pendekatan melalui inovasi perubatan ini diharap dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan beban penyakit dalam komuniti,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan