WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC, JOHOR METERAI MOU JALIN KERJASAMA STRATEGIK

21/04/2025 08:34 PM

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor bagi memperkukuh infrastruktur, memperluas liputan rangkaian Internet serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital. 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebanyak RM300 juta dana disediakan dalam tempoh dua tahun bagi memastikan pelaksanaan dan objektif berkenaan tercapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Beliau berkata antara pelan yang dirangka adalah membabitkan perancangan bagi meningkatkan liputan rangkaian 5G terutama di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Bermula sekarang, insya-Allah dalam tempoh dua tahun dari sekarang kita akan rangka (perancangan) di antara kerajaan negeri dan MCMC beberapa program khusus dengan anggaran (dana) RM300 juta.

"Ini akan melibatkan beberapa fasa, yang pertama semestinya melibatkan aspek liputan Internet, jadi kita hendak pastikan liputan Internet yang mencukupi terutama di kawasan JS-SEZ dan juga teknologi 5G dapat dimanfaatkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Johor dan MCMC di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan pertukaran MoU berkenaan.

 Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Sementara itu, Fahmi ketika berucap berkata kerjasama berkenaan turut merangkumi peningkatan liputan dan komunikasi mudah alih bagi menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi pintar dan kecerdasan buatan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan orang awam di seluruh Johor.

Beliau berkata peningkatan liputan 5G khususnya di bandar utama dan kawasan berimpak tinggi termasuk pusat data adalah penting bagi menyokong serta merancakkan transformasi ekonomi dan digital di negeri itu.

Program lain seperti pembangunan kapasiti dan latihan bagi meningkatkan penglibatan komuniti menggunakan Internet dalam ekonomi digital selain kesedaran dan advokasi untuk meningkatkan penggunaan teknologi secara selamat akan turut dilaksanakan, katanya.

Mohamad Fazli pula berkata  MoU berkenaan penting terutama dalam usaha mempertingkat ciri-ciri keselamatan di Johor.

Beliau berkata ia termasuk menambah pemasangan kamera litar tertutup melibatkan empat pihak berkuasa tempatan serta usaha menaik taraf liputan daripada 4G kepada 5G membabitkan 1,169 kawasan industri yang dikenal pasti perlu ditambah baik termasuk JS-SEZ.

Secara keseluruhan, Mohamad Fazli berkata liputan 5G di Johor mencapai 84 peratus.

"Justeru itu, melalui MoU ini kita antaranya akan fokus pada CCTV yang turut berperanan banteras isu jenayah, trafik dan sebagainya.

"Ini termasuk juga usaha bagi meningkatkan capaian internet 5G di Stadium Sultan Ibrahim," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan