WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PARADIGM REIT METERAI PERJANJIAN PENAJA JAMIN BAGI PENYENARAIAN DI PASARAN UTAMA

22/04/2025 10:52 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) --  Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT), syarikat amanah pelaburan hartanah tempatan memeterai perjanjian penaja jamin dengan tiga bank pelaburan menjelang cadangan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Paradigm REIT berkata syarikat memeterai perjanjian dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGSI) dan AmInvestment Bank Bhd (AmInvestment).

Syarikat amanah itu dijadual disenaraikan dengan saiz dana awal sebanyak 1.6 bilion unit dan daripada jumlah itu 560 juta unit disediakan kepada pelabur runcit serta institusi.

“Cadangan tawaran itu merangkumi tranche runcit sehingga 254.65 juta unit tawaran dan tawaran institusi sekurang-kurangnya 305.34 juta unit tawaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyenaraian itu akan disokong oleh suntikan tiga aset runcit utama iaitu Pusat Beli-Belah Bukit Tinggi (BTSC), Paradigm Mall Petaling Jaya (PMPJ) dan Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB).

Menurut Paradigm REIT, aset sedang dilupuskan menerusi vendor masing-masing dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM2.44 bilion.

Jumlah pertimbangan itu akan dipenuhi menerusi terbitan 1.6 bilion unit pada RM1.00 seunit, berserta pembayaran tunai sebanyak RM837.00 juta

Ketua Pegawai Eksekutif Paradigm REIT Management Sdn Bhd Selena Chua Kah Noi berkata perjanjian tersebut merasmikan langkah seterusnya ke arah penyenaraian.

“Dengan sokongan pemegang saham dan penasihat serta penaja jamin bersama kami, Paradigm REIT berada dalam kedudukan yang baik untuk menyampaikan cadangan pelaburan yang menarik kepada kedua-dua pelabur runcit dan institusi.

“Asas aset berkualiti dan perancangan masa depan kami membentuk dasar jangka panjang yang kukuh dan nilai yang mampan.

“Kami berharap dapat memberikan pulangan dan pertumbuhan yang konsisten kepada pemegang unit kami,” katanya.

Penyenaraian Paradigm REIT di Bursa Malaysia dijangka dilaksanakan selepas mendapat kelulusan pihak kawal selia dan proses tawaran dimuktamadkan.

Maybank IB merupakan penasihat utama, penyelaras utama dan pengurus penaja jamin tunggal, selain penyelaras bersama dan penaja jamin bersama dengan CGSI dan AmInvestment. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan