PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menaja pembukaan akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kepada 1,000 penggiat seni.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kuota itu dibuka sehingga September 2025 dan keutamaan akan diberikan kepada penggiat yang belum mempunyai akaun KWSP.
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka jalan kepada simpanan hari tua, tetapi juga memberi mesej jelas bahawa Kerajaan MADANI tidak meminggirkan mereka yang selama ini bertungkus-lumus membina industri dari belakang tabir,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya Finas di sini hari ini.
Fahmi berkata penajaan itu bagi menyokong inisiatif penting yang digerakkan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) bersama Finas iaitu Program PELINDUNG, yang merupakan satu usaha menyeluruh untuk menyediakan perlindungan sosial kepada penggiat seni, khususnya pekerja bebas, kru produksi dan tenaga di belakang tabir.
Beliau berkata melalui kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan KWSP itu, penggiat seni kini boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) serta i-Saraan KWSP, tanpa had umur dan merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan dan kebajikan mereka.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Penyiaran RTM Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Roslan Ariffin.
Pada majlis itu Fahmi turut melancarkan secara rasmi GAFEMA yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2023 dan diiktiraf oleh Finas sebagai gabungan persatuan induk industri.
Beliau berkata GAFEMA telah menghimpunkan lebih 16 buah persatuan merangkumi penerbit, pengarah, pekerja teknikal, juruanimasi, penulis skrip dan pasca penerbitan sebagai satu entiti kolektif untuk memperjuangkan hak, kebajikan dan pembangunan industri.
“Saya juga menyambut baik sesi Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada GAFEMA kepada Finas, sebagai simbol komitmen bersama untuk memperkukuh dasar-dasar industri,” katanya.
Sementara itu, Azmir Saifuddin berkata mana-mana penggiat seni yang layak dan berminat untuk membuka akaun i-Saraan KWSP, boleh membuat permohonan melalui Finas atau GAFEMA bermula hari ini.
“Minimum buka caruman ialah RM50, tetapi kali ini KWSP bagi Finas kadar khas dan baki caruman bagi 1,000 akaun itu akan ditanggung Finas.
“Saya berterima kasih kepada KWSP, setelah MoU kita tahun lepas inilah hasil yang kita lakukan kerana antara dalam MoU adalah untuk membantu industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial