WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMENTERIAN KEWANGAN SALUR RM1 JUTA LAKSANA KAMPUNG ANGKAT MADANI DI TAWAU - ESSCOM

22/04/2025 06:24 PM

TAWAU, 22 April (Bernama) -- Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Inderasabah di sini sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali, berkata inisiatif program itu bukan sahaja melibatkan pembangunan infrastruktur, malah merangkumi aspek keselamatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sebanyak tujuh projek dikenal pasti bagi menaik taraf Kampung Inderasabah antaranya peningkatan pencahayaan di beberapa jalan, menaik taraf jeti serta pelaksanaan program berkaitan keselamatan.

“Selain itu, terdapat juga dana tambahan sebanyak RM200,000 bagi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat induk Program Kampung Angkat MADANI yang dipengerusikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di sini hari ini.

Jamaluddin berkata berdasarkan maklumat daripada Bahagian Keselamatan ESSCOM, kawasan itu terdedah kepada aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan minyak dan rompakan laut.

Beliau berkata Kampung Inderasabah memiliki potensi ekonomi dan masyarakat yang bersatu padu dan sekiranya model Kampung Angkat itu berjaya, tidak mustahil program berkenaan akan diperluaskan ke kawasan lain di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Selain itu, katanya ESSCOM juga akan melaksanakan program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Lihak-Lihak, Semporna yang membabitkan peruntukan sebanyak RM100,000.

Sementara itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata pemilihan kampung itu merupakan satu pengiktirafan besar dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan komuniti luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan nasional.

Beliau berkata Kampung Inderasabah merupakan antara lokasi yang dianggap ‘hotspot’ berikutan kedudukannya yang bersempadan dengan perairan antarabangsa melibatkan Indonesia dan Filipina.

“Program ini adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melibatkan semua komuniti dengan mendapat khidmat daripada semua agensi kerajaan. Saya berharap segala perancangan ini dapat direalisasikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan