WILAYAH - TIMUR > BERITA

JAS KELANTAN BAWA DUA KILANG KE MAHKAMAH, DENDA RM15,000

22/04/2025 07:27 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan telah mengambil tindakan mahkamah terhadap dua premis kilang dengan jumlah denda RM15,000 atas kegagalan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling bagi tempoh Januari hingga kini.

Pengarahnya Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata kedua-dua kes dijatuhkan hukuman oleh mahkamah selepas mendapat keizinan Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Dua kes mahkamah telah dijatuhkan hukuman tahun ini melibatkan satu kesalahan pelepasan kumbahan dengan denda RM10,000.

“Kes satu lagi melibatkan pelepasan parameter melebihi had ditetapkan manakala satu lagi kesalahan adalah pelanggaran syarat lesen premis buangan terjadual dengan denda RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JAS Kelantan di sini hari ini.

Selain tindakan mahkamah, beliau berkata sebanyak 12 kesalahan di bawah akta sama telah dikenakan kompaun manakala 20 kes masih menunggu kelulusan TPR untuk tindakan lanjut.

Selain itu beliau berkata sebanyak 89 aduan diterima pihaknya tahun ini melibatkan pencemaran udara, air dan bunyi bising.

“Daripada jumlah itu, 67 aduan berkaitan pencemaran udara, kebanyakannya akibat pembakaran terbuka. Selebihnya melibatkan aduan bunyi bising dari bengkel kenderaan dan tapak pembinaan selain kes lain seperti pembakaran sampah dan kacau ganggu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa aduan yang diterima menerusi sistem e-Aduan dan bukan di bawah bidang kuasa JAS akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan