WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA INDUSTRI MALAYSIA-CHINA BUKA PELUANG BAHARU – TIMBALAN MENTERI

22/04/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama-Xinhua) -- Kerjasama industri antara Malaysia dan China telah membuka peluang baharu untuk pembangunan bersama, manakala pasaran China yang pesat berkembang memainkan peranan penting dalam pembangunan masa depan industri minyak sawit Malaysia, kata  Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin

Dalam satu temu bual bersama Xinhua baru-baru ini, beliau berkata  kedua-dua negara mengekalkan hubungan erat di peringkat tinggi, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan membawa kepada pencapaian baharu dalam pelbagai sektor.

Chan, yang pernah melawat banyak kawasan di China, melihat potensi besar yang belum diterokai di luar bandar raya utama negara itu. “Kami percaya rantau tengah dan barat China mempunyai potensi pasaran yang sangat besar,” katanya.

“Pada akhir tahun ini, saya merancang untuk melawat Chengdu dan Chongqing (di barat daya China) bagi meneroka kerjasama dalam produk minyak sawit bernilai tinggi yang memenuhi keperluan industri tempatan,” beliau berkata.

Statistik menunjukkan jumlah dagangan dua hala pada 2024 mencatat paras tertinggi dalam sejarah iaitu US$212 bilion, dan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Sambil menyifatkan China sebagai satu daripada pasaran terpenting bagi minyak sawit Malaysia, Chan berkata nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada 2024 mencecah RM10.57 bilion (kira-kira US$17.4 bilion), mewakili lebih separuh daripada jumlah eksport komoditi pukal Malaysia ke China.

Chan turut menekankan trend baharu dalam pasaran China yang membuka ruang kerjasama baharu, termasuk peralihan penggunaan minyak sawit daripada sektor makanan tradisional kepada bio tenaga, kimia dan aplikasi industri berteknologi tinggi lain.

Beliau turut menyentuh mengenai penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Shanghai sejak 2005. “Pusat R&D itu amat penting. Ia merangsang interaksi berterusan antara pasaran Malaysia dan China serta menggalakkan inovasi produk yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

“Kami juga berharap dapat bersama-sama meneroka bidang teknologi maju seperti kecerdasan buatan dan dron, serta mengaplikasikannya dalam pembangunan industri kami,” katanya.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan