WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK AYER KUNING: CALON PN LANCAR MANIFESTO, KEMUKA LIMA TAWARAN 'TEKAD'

22/04/2025 05:50 PM

TAPAH, 22 April (Bernama) -- Calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek hari ini melancarkan manifesto yang mengemukakan lima tawaran di bawah inisiatif ‘TEKAD’, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berbaki tiga hari lagi.

Lima tawaran itu merangkumi tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar; ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa; khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian; akses kemudahan dan infrastruktur serta mendengar suara rakyat.

Menerusi tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar, Abd Muhaimin antaranya berjanji menghapuskan ladang babi haram yang gagal mematuhi syarat lesen, selain menubuhkan dua khidmat rakyat tetap dan satu pusat bergerak di bawah tawaran khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian.

“TEKAD ini lahir daripada keluhan dan suara rakyat yang kami dengar setiap kali turun padang, daripada isu keselamatan, alam sekitar, pengurusan sampah hingga jalan rosak,” katanya pada sidang media di Pusat Media PN di Bidor di sini hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada Sabtu ini, manakala pengundian awal berlangsung hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan