WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESAN DARAH DI DALAM BILIK ADALAH MILIK ZAYN RAYYAN - SAKSI

22/04/2025 08:34 PM

PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kesan darah di dalam bilik rumah yang didiami Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin adalah milik kanak-kanak autistik berkenaan.

ASP Mohd Hafizee Ismail, 38, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, berkata ia berdasarkan laporan kimia diperoleh daripada sampel spesimen tulang sternum milik Zayn Rayyan yang berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) si mati.

“Keputusan laporan ini dikeluarkan oleh ahli kimia Nor Aidora Saedon yang berpadanan dengan profil DNA daripada spesimen tulang berlabel Zayn Rayyan Abdul Matin,” katanya ketika ditanya Hakim Dr Syahliza Warnoh tentang pemilik darah itu.

Mohd Hafizee, yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, berkata darah yang ditemukan di bilik air adalah milik tertuduh pertama iaitu Zaim Ikhwan Zahari manakala darah dalam bilik pula ialah milik si mati.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ke-18 perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan.

Semalam, Mohd Hafizee memberitahu mahkamah terdapat kesan darah di bilik air dan dalam bilik di rumah Zayn Rayyan semasa pasukan forensik melakukan proses luminol (mendapatkan tindak balas kesan darah) di rumah kanak-kanak itu di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan kepada mahkamah siapa pemilik darah terbabit.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berhubung sampel tanah yang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia, Mohd Hafizee berkata hasilnya adalah negatif kerana berasal dari sumber berbeza.

Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah beliau mengarahkan pasukan forensik mengambil sampel tanah berhampiran lokasi si mati dijumpai untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis selepas terlihat sepasang kasut hitam yang memiliki kesan lumpur di sebelah peti ais di sebuah bilik di hadapan dapur.

Disoal Raja Zaizul Faridah sama ada siasatan lain dibuat terhadap pengasuh Zayn Rayyan iaitu Auni Afiqah Abas, Mohd Hafizee menjawab,"Berdasarkan keterangan Auni yang juga saksi pendakwaan ke-17, beliau ada mendengar suara seperti Zayn Rayyan seolah-olah cuba melepaskan diri namun saya mendapati Auni gagal mengenal pasti suara tersebut adalah si mati".

Beliau berkata Ismanira telah menghantar Zayn Rayyan dan adiknya ke rumah Auni setiap hari.

Kepada soalan mengenai nama si mati dalam sijil kelahiran yang berbinkan Abdul Matin dan bukannya Zaim Ikhwan Zahari, saksi itu menjawab, "Siasatan saya mendapati Zaim Ikhwan dan Ismanira telah berkahwin di Narathiwat, Thailand sekitar Jun 2016 dan telah terlewat daftar perkahwinan di Malaysia. Oleh itu, si mati berbinkan atas 99 nama Allah". 

Ismanira dan Zaim Ikhwan, yang berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan