WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LIMA LAGI INDIVIDU TERMASUK TAN SRI, DATUK SERI TERLIBAT SKIM PONZI MBI

22/04/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Polis menahan lima lagi individu termasuk seorang usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan Ponzi melibatkan MBI International Group (MBI).

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata kesemua suspek berusia antara 32 hingga 67 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star yang dijalankan dari Jumaat lepas hingga semalam.

Beliau berkata selain tangkapan tersebut, polis turut menyita dan membekukan harta serta aset membabitkan tiga dusun durian bernilai RM223.62 juta di tiga lokasi berasingan iaitu di Raub, Pahang (344 hektar), Jawi, Pulau Pinang (5.26 hektar) dan Tasek, Kedah (13.76 hektar).

“Semua yang ditahan direman selama antara lima hingga enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 299 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM123.61 juta turut dibekukan selain 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, lima telefon bimbit dan pelbagai dokumen penting yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skim penipuan tersebut.

Muhammed Hasbullah berkata turut disita ialah tiga entiti perniagaan membabitkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah; sebuah hotel; serta sebuah syarikat pemaju hartanah di Pulau Pinang.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini mencecah RM3.51 bilion,” katanya.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan dan polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan serta rampasan aset akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Mana-mana individu atau entiti yang dikenal pasti terlibat secara langsung atau tidak langsung — termasuk memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, melupuskan atau membawa masuk hasil daripada kegiatan pelaburan haram ini akan disiasat.

“Kita juga menyeru mana-mana individu yang menjadi mangsa skim pelaburan ini agar tampil memberikan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata lapan individu telah ditahan dan aset bernilai RM3.17 bilion telah dirampas hasil siasatan terhadap skim pelaburan itu, menerusi tindakan rentas negara hasil maklumat Notis Merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan