SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Sebanyak 5,081 keluarga asnaf di Selangor berjaya keluar daripada kelompok kemiskinan tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Khaidzir Shahari.
Beliau berkata kejayaan itu adalah pencapaian tertinggi setakat ini dan ia merupakan hasil program pembangunan asnaf terancang yang dilaksanakan LZS.
Mohd Khaidzir berkata kejayaan itu disokong empat inisiatif utama iaitu bantuan modal niaga dengan agihan RM2.98 juta, sokongan keusahawanan (RM11 juta), insentif kerjaya (RM8.73 juta) dan Bantuan Dermasiswa Pendidikan (RM48.68 juta).
“Transformasi kelompok asnaf itu adalah hasil pelaburan strategik, dengan mereka kini aktif dalam ekonomi dan menjadi penyumbang berdikari kepada masyarakat. Ini juga menjadi tunjang kepada misi LZS dalam membina komuniti asnaf berdikari dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat di Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.
Sementara itu Mohd Khaidzir berkata LZS sedang memperkukuhkan tindak balas strategik bagi menghadapi cabaran peningkatan kemiskinan bandar dan unjuran pertambahan isi rumah asnaf melebihi 157,000 menjelang 2030.
“Antara keutamaan ialah penambahbaikan platform digital sedia ada supaya boleh diakses pada bila-bila masa, sekali gus membolehkan pengesahan maklumat secara masa nyata dan cadangan bantuan disesuaikan mengikut keperluan pemohon,” katanya.
Selain itu LZS juga mempergiat usaha memperkasakan komuniti asnaf melalui sokongan lebih menyeluruh dalam bidang keusahawanan, peluang pekerjaan dan bantuan pembangunan bagi menyediakan laluan lebih jelas ke arah kestabilan kewangan jangka panjang golongan berkenaan.
Mohd Khaidzir berkata usaha itu juga meliputi peluasan rangkaian penolong amil kariah yang kini melibatkan kerjasama sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memperkukuhkan capaian di peringkat akar umbi supaya tiada penerima layak tercicir daripada menerima bantuan.
“Bagi meningkatkan ketepatan dan jangkauan agihan zakat, LZS akan memperluaskan kerjasama rentas agensi serta memanfaatkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (Al) dan sistem elektronik e-Know Your Customer (eKYC),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial