WILAYAH - SARAWAK > BERITA

18 MANGSA KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS MASIH DIRAWAT DI FASILITI KESIHATAN

23/04/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Seramai 18 mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya masih lagi dirawat di fasiliti kesihatan sehingga hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata seramai 132 mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta, telah dibenarkan keluar setakat 12 tengah hari tadi.

“Setakat hari ini, tiada kemasukan baru dan tiada kematian. Kita bersyukur kerana tiada kematian dan juga tiada lagi mendapat rawatan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara, SEACare 2025 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata seramai 150 mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital kerajaan dan swasta pada hari kejadian, 1 April lepas.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas yang berlaku pada 8.10 pagi itu, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.

  -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan