WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ABK: ARIF AIMAN LAKAR SEJARAH, KEKAL DOMINASI GELARAN MVP BUAT KALI KEEMPAT BERTURUT-TURUT

23/04/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) --  Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi melakar sejarah apabila muncul pemain pertama dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 di sini, malam ini.

Kejayaan tersebut meletakkan pemain kebangsaan itu berada dalam kelas tersendiri apabila mengatasi pencapaian bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 hingga 2012.

Pemain berusia 23 tahun itu turut mendominasi tiga lagi kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 dan juga Fans XI (Penyerang). 

Ini juga merupakan musim pertama Arif Aiman memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak 2021 sehingga 2023.

Arif Aiman terus menjadikan Liga-M musim ini sebagai pentas untuk dirinya memperagakan kehebatan dengan mencetak 12 gol dan 13 ‘assist’ bagi membantu kelab Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super, Piala FA serta melangkah ke final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

 Bagaimanapun Arif Aiman mengakui masih belum berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan akan cuba menyajikan aksi lebih baik selepas ini.

“Alhamdulillah, saya tak sangka saya dapat menangi anugerah MVP ini. Tapi setiap tahun adalah cabaran yang tinggi buat saya. 

“Saya rasa saya masih tak puas hati. Saya akan bagi yang terbaik sampai saya rasa bangga dengan diri saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis.

Sementara itu, rakan sepasukan Arif Aiman, Bergson da Silva turut mencuri tumpuan apabila meraih Kasut Emas Liga Super dan dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik selepas mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 32 gol di pentas liga.

Jumlah tersebut adalah yang terbanyak buat penyerang kelahiran Brazil itu sepanjang beraksi di Liga-M bersama JDT selepas kali terakhir menjadi penjaring terbanyak pada 2022 dengan 29 jaringan di Liga Super.

-- LAGI

 

SUKAN-BOLA SEPAK (ARIF AIMAN) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak membawa pulang trofi buat julung kalinya dengan menewaskan dua calon lain iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Kinoshi Katsuhito (Selangor FC).

Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, ketua jurulatih kelahiran Singapura itu akhirnya berjaya membuktikan kredibilitinya selepas membawa Kuching City menduduki tangga keempat Liga Super pada musim kedua dalam saingan elit Liga-M itu.

 Ia pencapaian terbaik Kuching City yang bermula sebagai kelab amatur dan bersaing dalam Liga Bolasepak Rakyat pada 2015 sehinggalah kini berdiri gah dalam kelompok terbaik pasukan Liga Super.

Secara keseluruhan, ABK 2024-2025 menyaksikan kelab JDT menguasai lapan kategori utama yang dipertandingkan.

Selain tiga anugerah dimenangi Arif Aiman serta dua anugerah diraih oleh Bergson, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed turut menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali ketiga berturut-turut manakala Feroz Baharudin pula merangkul trofi Pertahanan Terbaik buat kali pertama. 

Selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, JDT muncul Pasukan Terbaik musim ini apabila merangkul lapan anugerah utama. 

 

Berikut senarai penuh pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2024-2025:

 

1. Penjaga Gol Terbaik:                                       Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT)

2. Pertahanan Terbaik:                                        Feroz Baharudin (JDT)

3. Pemain Tengah Terbaik:                                  Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)

4. Penyerang Terbaik:                                         Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC)

5. Jurulatih Terbaik:                                             Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC)

6. Pemain Import Terbaik:                                   Bergson da Silva (JDT)

7. Pemain Muda Terbaik:                                     Haqimi Azim Rosli (KLC)

8. Pemain Piala MFL Terbaik:                              Gabriel Nistelrooy Tamin (JDT2)

9. Pemain Paling Bernilai (MVP):                         Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)

10. Anugerah Fairplay:                                          Terengganu FC

11. Pasukan Terbaik:                                              JDT

12. Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025:             Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT)

13. Kasut Emas Piala MFL:                                    Gabriel Nistelrooy Tamin (JDT2) – 24 Gol

14. Kasut Emas Liga Super:                                   Bergson da Silva (JDT) – 32 Gol

15. Kasut Emas Liga Super (Tempatan):                Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC) – 17 Gol

16. Penyokong Terbaik:                                           Boys of Straits (JDT)

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan