Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Apabila Malaysia memulakan satu daripada reformasi terbesar dalam rangka kerja ekonominya dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, isu subsidi bersasar bagi diesel telah menjadi tumpuan utama.
Cadangan kerajaan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh secara beransur-ansur -- bermula dengan diesel dan berpotensi dilanjutkan kepada petrol RON95 -- telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat serta perbincangan mengenai dasar.
Bagaimanapun, di sebalik keresahan ini, terdapat hujah ekonomi yang kukuh, disokong oleh keperluan fiskal, kemampanan jangka panjang dan pendekatan kebajikan yang lebih adil.
Bagi penganalisis ekonomi Putra Business School Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal.
“Kita telah memberi subsidi bahan api dan barangan keperluan secara menyeluruh selama beberapa dekad. Tetapi dalam realitinya, sebahagian besar daripadanya telah memberi manfaat kepada mereka yang tidak memerlukan.
“Kira-kira 35 peratus subsidi bahan api diterima oleh golongan berpendapatan tinggi T20. Ini tidak efisien atau adil,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Ahmed Razman berkata melalui rasionalisasi subsidi, Malaysia boleh mengalihkan penjimatan berbilion ringgit kepada sektor yang lebih memberi impak seperti pembangunan infrastruktur, kebajikan sosial, pendidikan dan kesihatan -- yang memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.
Subsidi bersasar diesel oleh kerajaan telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lepas dan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun.
Menurutnya penjimatan ini telah diterjemahkan kepada peningkatan peruntukan bagi program bantuan kewangan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) and Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang kedua-duanya berjumlah lebih RM13 bilion pada 2024.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini terbukti berkesan dalam mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan yang tidak layak.
Sejak pelaksanaannya, jualan diesel bersubsidi menyusut sebanyak 30 peratus, yang menghasilkan penjimatan lebih RM600 juta sebulan walaupun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan, dan sektor logistik.
Kesan Tarif Amerika Syarikat Kepada Malaysia
Keperluan kepada subsidi bersasar ini menjadi semakin penting berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat antaranya ketegangan perdagangan yang kembali berlaku dan pasaran tenaga yang tidak menentu.
Pada 2 April lepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas kepada rakan dagangnya, termasuk mengenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia.
Bagaimanapun, tujuh hari kemudiannya, beliau mengumumkan penangguhan tarif berkenaan selama 90 hari untuk memberi peluang kepada rundingan dengan negara-negara yang terlibat.
Walaupun keadaan ini mungkin memberi kelegaan sementara, kesan yang lebih luas ekoran ketegangan perdagangan antara AS dan China masih menimbulkan kebimbangan.
Profesor Madya Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata tindak balas yang diselaraskan amat penting untuk melindungi daya tahan ekonomi dan mengekalkan keyakinan orang ramai.
“Langkah terbaik Malaysia adalah bertindak bersama dengan rakan negara ASEAN, memanfaatkan kekuatan kolektif untuk menguruskan cabaran perdagangan global,” katanya.
Menurutnya subsidi bersasar diperlukan untuk memastikan kemampanan fiskal jangka panjang serta mengalihkan sumber itu terhadap perlindungan sosial dan perbelanjaan pembangunan yang disasarkan dengan lebih baik.
"Oleh itu, inilah masanya dan perlu untuk bergerak ke arah pendekatan yang lebih disasarkan, berpacukan data. Subsidi petrol yang disasarkan perlu menjadi sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk membina model ekonomi yang lebih kukuh dan adil," katanya.
Sementara itu Ahmed Razman turut senada dengan pandangan itu dan katanya Malaysia telah merancang pelaksanaan subsidi bersasar, dan perang tarif ini mungkin akan memberikan justifikasi lebih kukuh bagi memastikan golongan yang benar-benar layak terus menerima bantuan daripada kerajaan
Selain itu, penurunan harga minyak global turut membuka ruang kepada kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar.
Ketika ini, harga minyak mentah Brent susut sebanyak 1.50 peratus kepada US$66.87 setong.
Peralihan Daripada Bantuan Menyeluruh Kepada Bantuan Bersasar
Menurut Muhammad Irwan, isu sebenar bukanlah sama ada subsidi perlu dimansuhkan atau tidak, tetapi bagaimana bantuan subsidi itu harus diagihkan.
Beliau menegaskan bahawa peralihan kepada bantuan bersasar adalah penting bagi memastikan disiplin fiskal dapat dikekalkan sambil melindungi golongan berisiko.
Pelaksanaan subsidi bersasar perlu digandingkan dengan reformasi struktur yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan sederhana, kata beliau.
“Bantuan tunai langsung mungkin dapat mengurangkan beban dalam jangka pendek, tetapi ia tidak akan menyelesaikan isu pendapatan median yang tidak berubah, tetapi dibebani kos hidup yang semakin meningkat.
“Kita perlukan peningkatan kemahiran, struktur gaji yang progresif, dan penyelarasan antara industri dan institusi pendidikan bagi membantu rakyat naik meningkatkan pendapatan,” katanya.
Untuk terus meringankan beban kos sara hidup, kerajaan MADANI telah meluaskan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April berbanding 700,000 penerima sebelum ini.
SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar yang menyalurkan semula sebahagian daripada hasil negara dan penjimatan subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Mulai tahun ini, pengagihan SARA melalui MyKad turut diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan Semenanjung Malaysia.
Mengawal Inflasi dan Memperkukuh Penguatkuasaan
Antara kebimbangan utama rakyat mengenai subsidi bersasar untuk diesel ialah kesan inflasi. Kedua-dua ahli akademik ini mengakui kebimbangan ini berasas, namun ia boleh ditangani dengan strategi yang betul.
“Tidak dapat dinafikan penyelarasan subsidi RON95 pasti akan memberi kesan inflasi. Namun kadar inflasi semasa masih sekitar 1.8 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Dengan penguatkuasaan kawalan harga yang kukuh serta pemantauan berasaskan teknologi, kenaikan ini sepatutnya dapat dikekalkan dalam julat 2.0 hingga 4.0 peratus,” kata Ahmed Razman.
Muhammad Irwan pula menekankan bahawa inflasi perlu ditangani daripada dua aspek iaitu mengawal kenaikan harga yang tidak wajar dan menyokong kuasa beli isi rumah.
“Kita perlu pastikan keperluan asas seperti makanan, utiliti dan pengangkutan asas kekal masih pada kadar mampu milik.
“Penguatkuasaan mesti diperkasakan, bukan secara manual sahaja, tetapi menggunakan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI), pemantauan melalui e-dompet dan integrasi data untuk membendung aktiviti pencatutan dan penyeludupan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha kawalan harga perlu memberi keutamaan kepada barangan asas walaupun pengeluar memberi alasan kenaikan kos bahan api.
“Inilah pentingnya prinsip amanah dalam ekonomi Islam. Kekayaan awam perlu diurus dengan penuh integriti,” katanya.
Prasarana Digital Untuk Pengagihan Saksama
Kejayaan sebarang usaha rasionalisasi subsidi sangat bergantung kepada satu elemen penting iaitu data yang tepat, bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti siapa yang benar-benar memerlukan bantuan.
Malaysia telah mencatat kemajuan positif menerusi pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU), namun kedua-dua pakar bersetuju ia masih dalam fasa pembangunan.
“PADU mempunyai potensi yang besar. Tetapi kita perlukan pendaftaran penuh bagi semua dewasa. Buat masa ini, hanya kira-kira separuh yang telah mendaftar.
“Tanpa data lengkap dan tepat, risiko kesilapan pengecualian akan berlaku, iaitu mereka yang layak tetapi tercicir daripada menerima bantuan,” kata Ahmed Razman.
Muhammad Irwan pula berkata proses pendaftaran dan permohonan yang lebih lancar, khususnya melalui telefon pintar dan sistem pengenalan digital seperti MyKad, amat penting untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan saksama.
Penggunaan MyKad untuk mengagihkan SARA bukan sahaja cekap malah membolehkan orang ramai menggunakan bantuan itu hanya dengan meleret kad di kedai yang mengambil bahagian.
Selain pantas, ia juga selamat, membolehkan pengalaman pembelian yang lancar dan tidak merumitkan.
RON95: Pengajaran Daripada Reformasi Diesel
Walaupun subsidi bersasar untuk diesel telah menjejaskan pangkalan pengguna, petrol RON95 memberikan cabaran yang lebih kompleks. Ia digunakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia merentasi semua kumpulan pendapatan.
Oleh itu, melaksanakan rasionalisasi RON95 yang adil dan cekap memerlukan perancangan teliti, simulasi meluas dan mekanisme pelancaran berdaya tahan.
"Ini akan menjadi usaha logistik besar-besaran. Kami bercakap mengenai ribuan stesen minyak dan jutaan pengguna. Ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa," kata Ahmed Razman.
Beliau berkata kerajaan sudah bersedia untuk peralihan ini selama bertahun-tahun, memperkenalkan tabiat pembayaran digital melalui insentif e-dompet dan merintis mekanisme pengagihan bantuan, namun cabarannya masih wujud.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata sistem harga dua peringkat bagi pelaksanaan RON95 sasaran pada Jun akan melibatkan penggunaan MyKad bagi memudahkan subsidi petrol bersasar.
Ketika ini, mekanisme untuk subsidi bersasar RON95 sedang diperhalusi untuk memastikan ia selamat, cekap dan boleh dipercayai selepas dilancarkan.
Amir Hamzah turut memberi jaminan kira-kira 85 peratus rakyat Malaysia akan terus menikmati petrol bersubsidi, mencerminkan niat sebenar subsidi bersasar iaitu menyalurkan sokongan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Mengubah Naratif: Daripada Tentangan kepada Tanggungjawab
Di sebalik dasar dan sistem, sentimen rakyat mungkin menjadi halangan terbesar. Untuk berjaya, kerajaan bukan sahaja perlu melaksanakan dasar dengan baik malah perlu memenangi hati dan minda rakyat.
“Rakyat Malaysia perlu memahami mengapa perkara ini berlaku, dan bagaimana ia memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang. Dalam hal ini, komunikasi adalah kunci -- bukan hanya melalui pengumuman rasmi malah melalui media sosial, pempengaruh dan pemimpin komuniti,” kata Ahmed Razman.
Sementara itu, Muhammad Irwan percaya bahawa penyampaian mesej berasaskan nilai boleh membantu merungkai isu ini dalam perspektif yang lebih membina.
“Dari segi ekonomi Islam, terdapat penekanan yang kuat terhadap keadilan antara generasi. Adakah kita sanggup menikmati subsidi yang tidak mampan hari ini dan mewariskan hutang kepada anak-anak kita? Itu tidak beretika,” katanya.
Rumusan: Peluang Pembaharuan, Detik Kebersatuan
Subsidi bersasar bukanlah "penyelesaian serta-merta," tetapi ia mungkin merupakan peluang terbaik Malaysia untuk menyusun semula ekonominya ke arah kemampanan, keadilan dan berdaya tahan.
Jika dilaksanakan dengan penuh teliti dan disokong oleh dasar serta strategi yang dirangka dengan baik, kesukaran ini mungkin bersifat sementara manakala manfaatnya berkekalan.
“Ini bukan sekadar pelarasan fiskal. Ia merupakan peluang untuk membina semula kepercayaan, menambah baik penyasaran dan memperbaharui cara kita menyokong rakyat Malaysia yang memerlukan,” kata Ahmed Razman.
Muhammad Irwan pula berkata ia merupakan satu usaha yang ‘menyakitkan,’ tetapi sesuatu yang perlu dilakukan -- dan dilakukan dengan betul untuk generasi akan datang.
Secara keseluruhannya, Kerangka MADANI meningkatkan taraf hidup dengan menggantikan subsidi secara menyeluruh dengan bantuan bersasar, memastikan kumpulan rentan menerima sokongan yang mereka perlukan.
Ia juga memenuhi teras “Menaikkan Lantai” dalam Kerangka Ekonomi MADANI, dengan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat dan pada masa sama memperluas jaring perlindungan sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial