WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KOMITED CAPAI SIFAR BERSIH KARBON 2050, KUKUH TINDAKAN IKLIM SERANTAU – ANWAR

24/04/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen Malaysia untuk mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon pada 2050.

Beliau berkata matlamat itu didukung oleh dasar yang kukuh termasuk Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta pelaksanaan cukai karbon bermula tahun hadapan.

“Malam tadi saya bersama 16 Ketua Negara/Kerajaan lain menyertai dialog maya yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva sebagai persediaan kepada #COP30 (Persidangan Pihak-pihak ke-30).

“Kami bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam menangani perubahan iklim di samping membincangkan isu-isu berkaitan termasuk persediaan penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) yang akan datang,” katanya menerusi catatan di Facebook. 

Sementara itu Anwar berkata Malaysia turut menekankan kepentingan kerjasama global dan pembiayaan iklim yang adil, khususnya bagi negara membangun.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh, memperjuangkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif dan seterusnya meletakkan ASEAN sebagai hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan