KUCHING, 24 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai barangan seludup serta ayam sabung dengan nilai keseluruhan RM3.5 juta menerusi Op Taring Alpha dan Op Taring Awas yang dijalankan bulan lepas.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata dalam operasi pada 23 Mac di Limbang, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di sebuah premis yang dijadikan tempat penyimpanan rokok tanpa kelulusan cukai kastam.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 3,400 karton rokok putih pelbagai jenama disimpan di dalam kenderaan yang diletakkan di kawasan premis tersebut.
“Turut dirampas sebuah kenderaan motokar jenis van dengan nilai keseluruhan RM1.77 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Che Ghazali berkata menerusi operasi pada 19 Mac yang dijalankan di Lundu, iaitu di kawasan sempadan Sarawak-Indonesia, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang cuba menyeludup enam tan beras putih ke negara jiran termasuk sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM221,600.
Sementara pada 23 Mac di Engkelili, beliau berkata PGA menahan 10 lelaki warga tempatan berusia 35 hingga 78 tahun di sebuah premis yang dijadikan tempat perjudian sabung ayam.
“Tujuh ekor ayam sabung dan pelbagai jenis alat dan bahan untuk aktiviti perjudian serta sebuah kenderaan turut dirampas dengan nilai keseluruhan RM154,450,” katanya.
Dalam operasi yang dijalankan pada 21 Mac di Lubok Antu pula, Che Ghazali berkata PGA menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 43 dan 47 tahun di sebuah lokasi yang tidak diwartakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 152 kilogram produk makanan sejuk beku yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis MPV dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM104,607,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial