WILAYAH - TIMUR > BERITA

ANAK SUKU TEMIAR BUKTIKAN POTENSI PELAJAR PEDALAMAN, RAIH 8A DALAM SPM

24/04/2025 07:58 PM

GUA MUSANG, 24 April (Bernama) -- Seorang pelajar Orang Asli dari suku kaum Temiar mencipta kejayaan tersendiri apabila muncul sebagai pelajar pertama daripada komuniti itu di Kelantan memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Nur Syafienaz Nazri, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di sini membuktikan tempat tinggal dan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik.

Membesar di Kampung Merlong, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, dia menjadi antara lapan pelajar Orang Asli di negeri ini yang lulus semua mata pelajaran tetapi satu-satunya yang mencatat keputusan 8A.

"Saya mahu buktikan pada komuniti saya bahawa kita juga boleh berjaya. Ini langkah pertama saya untuk capai cita-cita sebagai guru,” katanya kepada pemberita di SMK Panggung Jaya hari ini.

Nur Syafienaz berkata kejayaan itu hasil daripada disiplin, fokus, dan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada guru, rakan dan keluarga, terutama ibunya yang bekerja sebagai tukang jahit dan menjadi tulang belakang pendidikannya. 

"Saya mahu ubah nasib keluarga dan ibu telah banyak berkorban. Saya pegang azam itu sejak Tingkatan Satu lagi,” katanya.

Anak sulung itu berkata walaupun rumahnya hanya kira-kira 25 minit dari sekolah, dia memilih untuk tinggal di asrama bagi memastikan tidak tercicir daripada kelas tambahan dan aktiviti pembelajaran.

Nur Syafienaz berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam program Asasi Bahasa Inggeris sebagai langkah awal ke arah kerjaya sebagai pendidik.

Sementara itu, ibunya Siti Norsyakila Kamarzaman, 36, berkata kejayaan Nur Syafienaz menjadi motivasi bukan sahaja kepada adik-adiknya malah pelajar Orang Asli lain yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Saya harap ini bukan penamat tapi permulaan kepada lebih ramai anak Orang Asli yang berani bermimpi dan berusaha mencapai cita-cita mereka,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan