WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUSAT PERUBATAN SEMENTARA MALAYSIA DI MYANMAR TAWAR LAPAN PERKHIDMATAN PERUBATAN

25/04/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) – Pusat perubatan sementara Malaysia yang terletak di Padang Ulang Tahun ke-700, Parami Ward, Wilayah Sagaing, Myanmar kini menawarkan lapan perkhidmatan perubatan.

Kedutaan Malaysia di Yangon, Myanmar menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa perkhidmatan yang disediakan meliputi obstetrik dan ginekologi, perubatan am, pembedahan, ortopedik, pediatrik, pergigian, telinga, hidung dan tekak (ENT) serta oftalmologi.

"Orang ramai boleh mendapatkan rawatan secara percuma dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (kecuali Jumaat)," menurut hantaran itu.

Pada Khamis, Bernama melaporkan lebih 500 pesakit luar telah menerima rawatan di Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Daerah Sagaing sejak Isnin (21 April).

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata hospital itu dijangka beroperasi selama sebulan, namun tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya perlu.

Pada 18 April, Malaysia telah menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III, iaitu inisiatif bantuan kemanusiaan pasca bencana.

Menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda negara itu pada 28 Mac telah meragut 3,726 nyawa, mencederakan 5,105 orang dan menyebabkan 129 lagi masih hilang setakat 18 April.

Gegaran turut dirasai di negara jiran termasuk Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan